Perancis sudahpun mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati selepas dua kemenangan ke atas Peru dan juga Australia.
Manakala Denmark memerlukan satu lagi mata untuk mara dari Kumpulan C, dengan kekalahan bakal mengundang bencana sekiranya Australia berjaya mencatatkan kemenangan ke atas Peru.
Namun bagi jurulatih Denmark, Age Hareide pasukan kendaliannya harus mensasarkan kemenangan dalam pertemuan menentang Perancis.
Kemenangan akan mengesahkan diri sebagai juara Kumpulan C sekaligus mengelakkan pertemuan menentang Croatia yang sedang berada di prestasi terbaik.
Naib juara Kumpulan C bakal berhadapan dengan Nigeria, Iceland ataupun Argentina dari Kumpulan D yang masih memiliki saingan yang terbuka untuk slot terakhir ke pusingan kalah mati.
Fakta dan trivia
Berikut adalah fakta mengenai Denmark dan Perancis menuju perlawanan pada malam ini:
-
- Sebelum pertemuan pada malam ini, kedua-dua pasukan pernah berentap dua kali dalam kejohanan Piala Dunia. Kedua-dua perlawanan juga adalah perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Perancis menang 2-1 ketika menjadi tuan rumah pada 1998. Manakala Denmark menewaskan Perancis 2-0 dalam perlawanan pada 2002.
- Ini merupakan kejohanan utama antarabangsa keenam membabitkan pertemuan kedua-dua pasukan. Sebelum ini kedua-dua pasukan turut pernah berentap di Euro 1984, Euro 1992, Piala Dunia 1998, Euro 2000 dan juga Piala Dunia 2002. Perancis menang tiga daripada lima pertemuan tersebut.
- Oliver Giroud memiliki rekod baik untuk Perancis apabila menjadi menjaringkan tiga gol terakhir dalam pertemuan menentang Denmark sebelum ini. Kali terakhir Giroud berbuat demikian ialah ketika Perancis menundukkan Denmark 2-1 pada 2015.
- Denmark tewas empat daripada lima pertemuan menentang wakil Eropah di kejohanan Piala Dunia. Satu-satunya kemenangan ialah pada edisi 2002, menewaskan Perancis 2-0.
- Jika Denmark dianugerahkan sepakan penalti dalam pertemuan ini, ini bermakna kesemua empat pasukan di dalam Kumpulan C ini pernah mendapat sepakan penalti di saingan peringkat kumpulan. Kali terakhir ianya berlaku ialah pada 1998, juga membabitkan Kumpulan C yang terdiri daripada Arab Saudi, Afrika Selatan, Perancis dan Denmark.
- Perancis hanya pernah memenangi semua perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia pada 1998- sebelum muncul juara di halaman sendiri. Kemenangan ketiga hadir ketika menentang Denmark.
- Perancang tengah Denmark, Christian Eriksen telah menjaringkan 17 gol dari 20 penampilan terakhir untuk Denmark.
- Pemain remaja Perancis, Kylian Mbappe boleh menjadi pemain muda pertama untuk menjaringkan gol dalam lebih dari satu perlawanan, selepas kali terakhir dilakukan oleh penyerang England, Michael Owen juga pada 1998.
Sebelum sepak mula
Denmark akan tanpa Yussuf Poulsen yang digantung satu perlawanan. Tiada isu kecederaan untuk anggota lain skuad kendalian Age Hareide.
Bagi pengendali The Bleus, Didier Deschamps sedar beliau boleh merehatkan beberapa bintang utama terutamanya untuk mengelakkan pemain dari digantung perlawanan di peringkat kalah mati.
Tiga pemain tengah utama, Paul Pogba, Blaise Matudi dan Corentin Tolisso sudah mengutip satu kad kuning dan mempunyai risiko digantung untuk pusingan seterusnya jika menerima layangan kad dalam perlawanan ini.
Pemain pertahanan Real Madrid, Raphael Varane dilihat akan memakai lilitan kapten, manakala Steve Mandanda dijangka akan memulakan perlawanan di hadapan gawang, sambil Hugo Lloris direhatkan.
Penutup
Di atas kertas, anak buah Deschamps bukan tandingan Denmark. Namun keputusan perlawanan sepanjang dua pusingan peringkat kumpulan di Piala Dunia setakat ini membuktikan kejutan boleh berlaku.
Mampukah Perancis mengekalkan rekod 100% kemenangan. Adakah Denmark akan menemani Perancis untuk saingan kalah mati? Sama-sama kita nantikan.