Quantcast

BERITA

Perancangan 100 Tahun J. League Mampu Jadi ‘Role Model’ Buat Pelan Jangka Panjang MFL

Badan pentadbir bola sepak Liga Jepun (J League) menegaskan bahawa setiap penganjur liga perlu ada perancangan jangka panjang jika mahu semua pemegang taruh liga bergerak seiringan untuk mengejar visi dalam memantapkan pengurusan pasukan.

Menurut pengerusinya, Mitsuru Murai, beliau mengambil contoh J. League yang telah mempunyai perancangan 100 tahun sejak 1992 yang memperlihatkan pelbagai kejayaan menaik taraf mutu liga itu ke arah menjadi terbaik di Asia.

Paling mustahak, J. League tidak mengubah apa yang mereka rancangkan sejak awal agar keputusan yang dibuat kekal konsisten dengan polisi yang telah ditetapkan.

“Dalam mewujudkan ke arah liga yang mampan, mesti akan berlakunya konflik antara pihak pentadbir dan pasukan-pasukan yang akan bertanding serta pemain dengan pasukan yang mereka wakili.

“Selain itu, masalah juga akan timbul daripada pihak penyiar serta penaja juga pada saban tahun, jadi sudah tentu kami kena ada satu perancangan jangka panjang sebagai panduan menyelesaikan segala permasalahan ini.

“Di Jepun, kami mempunyai visi 100 tahun, yang mana ia menjadi teras kepada semua pihak yang terlibat dalam bola sepak dalam mendapatkan apa-apa keputusan kerana kami semua berkongsi visi yang sama.

Mitsuru Murai

“Kami tidak menukar terhadap apa yang kami telah tetapkan untuk memastikan perancangan sejak dari dahulu tidak terganggu selain mengekalkan usaha agar pelan kami di masa depan berjalan dengan sempurna,” katanya.

J. League yang bermula pada tahun 1993 menetapkan mereka akan mempunyai 100 kelab bertaraf profesional menjelang tahun 2093 selain memenangi Piala Dunia pada tahun 2092.

Buat masa ini, J. League memiliki 51 kelab profesional daripada J1, J. League 2 dan J. League 3.

Selain itu, Murai juga memuji pendekatan Malaysian Football League (MFL) yang sedang dalam merangka pelan bagi tempoh 50 tahun dan berharap ia akan menjadi panduan terbaik dalam meningkatkan mutu Liga Malaysia.

Malah, pihak J. League turut membantu secara tidak langsung dengan memberikan input serta berkongsi pengalaman mereka selama ini dalam membantu pihak MFL mencipta visi yang bersesuaian dengan bola sepak Malaysia.

“Kami ada bertukar pandangan malah ada staf MFL yang bersama dengan kami bagi mendapatkan idea tentang visi 100 tahun di Jepun dan bagaimana untuk menyesuaikan dengan suasana bola sepak di sini.

“Diharapkan apabila MFL sudah ada pelan tindakan sendiri, semua kelab mampu berdiri atas kaki sendiri berhubung soal penajaan dan kewangan pada masa akan datang, ”katanya.

Kredit foto: The Japan Times