Perak menamatkan rentetan 8 perlawanan tanpa kalah yang dicipta oleh B. Sathianathan selepas menewaskan FELDA United 1-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam malam semalam.
Gol tunggal Yashir Pinto melalui sepakan penalti pada minit 12 ternyata sudah cukup untuk menceriakan kira-kira 2,600 penyokong Perak yang hadir di Stadium Shah Alam.
Shahrom Kalam digugurkan
4 hari sebelum perlawanan semalam, kedua-dua pasukan ini sudah bertemu dalam aksi TM Piala Malaysia 2017 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. Perlawanan berkesudahan 1-1 dengan Zah Rahan dan Shahrul Saad menjaringkan gol untuk pasukan masing-masing.
Jika ada satu perbezaan besar yang membezakan perlawanan di Stadium Tun Abdul Razak dengan perlawanan di Stadium Shah Alam semalam, ia adalah ketiadaan tonggak FELDA United Zah Rahan Krangar.
Zah Rahan digantung sebanyak 6 perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM awal pagi tadi selepas didapati bersalah meludah pemain lawan sewaktu pertemuan FELDA United vs Pahang pada 1 Julai 2017.
B. Sathianathan memilih bekas penyerang Perak, Fazrul Hazli untuk menggantikan tempat Zah Rahan. Di lain-lain posisi, Sathianathan masih mengekalkan sistem 4-2-3-1 dan pemain sama yang seri 1-1 dengan Perak pada 4 hari lepas.
Perak juga ada membuat perubahan.
Selepas membuat 2 kesilapan berprofil besar dalam masa 8 hari, kapten dan pertahanan tengah Shahrom Kalam digugurkan dari kesebelasan utama.
Tempat Shahrom diganti oleh Shahrul Saad. Leandro dos Santos yang bergandingan baik dengan Shahrul di tengah ketika menentang FELDA United pada 4 hari lepas, dipasangkan pula dengan Hafiz Kamal.
FELDA United terasa kehilangan Zah Rahan
Ketiadaan Zah Rahan selama 6 perlawanan mungkin bakal memberi masalah besar kepada FELDA United jika persembahan malam semalam dijadikan sandaran.
FELDA kehilangan punca utama kreativiti dan kelinciran jentera tengah mereka. Kerap kali Hafiz Kamal dan Yashir Pinto diberi ruang dan masa yang cukup banyak di tengah. Apabila FELDA mendapat bola, mereka tiada kreativiti untuk memecah benteng Perak.
Seawal minit 8 lagi Perak sudah memberi amaran bahawa gol akan tiba jika jentera tengah mereka dibiarkan bebas.
Berpunca daripada serangan balas, Yashir Pinto mudah menewaskan Curran Ferns dan Stuart Wark untuk membuat hantaran yang berjaya disudahkan oleh Gilmar Filho. Bagaimanapun gol tersebut ofsaid.
4 minit kemudian, Pinto sekali lagi dibiarkan bebas merencana serangan yang kemudiannya terkena tangan Dino Djulbic di kotak penalti FELDA. Pengadil Zohri Tajuddin terus memberikan sepakan penalti buat Perak.
Pinto tidak mempunyai masalah untuk menyempurnakan penalti tersebut selepas berjaya memperdaya Farizal Harun yang terbang ke arah yang salah.
Perak mendahului 1-0 sehinggalah tamat separuh masa pertama.
Leandro dos Santos cemerlang
Masuk separuh masa kedua, Perak sekali lagi bermula dengan baik.
Dibantu dengan persembahan cemerlang Leandro dos Santos di tengah yang tak putus-putus memenangi bola, memintas hantaran dan membantu jentera pertahanan, Perak melancarkan siri-siri serangan balas yang berbahaya.
Ditambah pula dengan kualiti hantaran lintang Nazrin Nawi yang flat dan laju, Perak 3 kali berpeluang menambah gol pada minit 47′, 50′ dan 51′. Tetapi semua percubaan tersebut gagal disudahkan oleh Nasir Basharudin (2 kali) dan Gilmar.
Dino Djulbic pula mengalami salah satu perlawanan yang paling teruk.
Dibuli oleh Gilmar pada separuh masa pertama dan awal separuh masa kedua, Dino turut menghadiahkan Perak 2 peluang serangan ketika mengawal bola.
Bagaimanapun selepas 3 serangan cantik ini, FELDA United mula mempertingkatkan tahap permainan mereka. Perak pula beransur-ansur menjadi lebih defensif.
FELDA United mendominasi
Terdesak mencari gol, FELDA United memasukkan Norfazly Alias dan Fakrul Aiman.
Dengan rata-rata serangan berbahaya FELDA hanya datang dari sayap kiri (tempat Wan Zack bermain), ketiadaan Zah Rahan juga memaksa Thiago Augusto turun ke bawah untuk menggerak jentera tengah.
Ini menyebabkan potensi bahaya FELDA di kotak penalti Perak berjaya dikurangkan.
Ditambah pula dengan persembahan buruk Ifedayo Patrick di sayap kanan dan kesungguhan jentera pertahanan Perak yang dibarisi Amirul Azhan, Shahrul, Thiago Aquino dan Nazirul Naim, FELDA buntu untuk menjaringkan gol.
Perak pula tampak tidak berminat untuk menambah gol berbanding mempertahankan kelebihan 1 gol.
Meskipun memasukkan Abdul hadi Yahya dan Zaquan Adha untuk ‘menyegarkan’ jentera serangan yang semakin letih, Perak ternyata lebih berminat mengekalkan compactness and deep defensive line mereka.
Barangkali inilah trademark Mehmet Durakovic. Dapatkan 1 gol dan pertahankan 1 gol tersebut. Maka tak hairanlah perlawanan berakhir 1-0 untuk kemenangan bagi Perak.
Pemain terbaik perlawanan: Leandro dos Santos
Kepada penyokong-penyokong Perak Darul Ridzuan!
Anda boleh mendapatkan jersi Perak 2017 yang asli (player issue) secara online di laman e-dagang Semuanya BOLA.
Klik link di bawah untuk mula membeli:
SBX – Perak 2017
SBX – Perak 2017
SBX – Perak 2017
Dapatkannya cepat-cepat! Ini kerana stok cepat habis!
Mulakan gaya hidup aktif anda bersama SBX, laman e-dagang Semuanya BOLA.