Perak menambah derita skuad Harimau Kumbang yang terperosok ke tangga terbawah Liga Super 2017 apabila berjaya menundukkan pasukan jiran itu dengan keputusan 1-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh.
Permainan bermula dengan sedikit hambar apabila bola hanya berlegar-legar di tengah padang tanpa ada sebarang percubaan berbahaya yang dicipta. Perak merehatkan beberapa pemain utama pada perlawanan ini.
Percubaan lemah dari Abdul Hadi Yahaya pada minit ke-7 mudah ditangkap oleh penjaga gol Pulau Pinang, Sani Anuar Kamsani.
Di sebalik aksi yang kurang meyakinkan pada babak pertama, Mohd Nizad Ayub berjaya menceriakan penyokong tuan rumah apabila mencipta jaringan pembukaan setelah beliau menyudahkan hantaran yang dilakukan oleh Thiago Junio dalam kotak penalti pada minit ke-24.
Perak terus berusaha untuk menambah jaringan kedua dan peluang tersebut hadir pada minit ke-36 apabila Shahrul Saad yang meledakkan sepakan dari jarak 35 meter, namun sepakan tersebut berjaya ditepis keluar oleh Sani Anuar Kamsani untuk menggagalkan percubaan tersebut
Jaringan dari Mohd Nizad Ayub itu memisahkan keputusan kedua-dua pasukan hingga tamat babak pertama.
Aksi seimbang ditampilkan pada babak kedua perlawanan. Kemasukan pemain import, Mark Andrew Hartmann berjaya mengubah sedikit corak permainan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan yang berjaya memperkemaskan aksi untuk mendapatkan jaringan penyamaan.
Muhamad Faizat Mohamad Ghazli yang masuk di minit ke-82 mendapat peluang keemasan seminit selepas dimasukkan apabila beliau yang tidak dikawal pertahanan Perak melakukan rembatan kencang tetapi percubaan tersebut berjaya ditangkap kemas Hafizul Hakim Khairul Nizam.
Kedudukan 1-0 tidak berubah sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil yang bertugas pada malam ini, Fitri Maskon.
Keputusan ini mengesahkan Pulau Pinang tersingkir ke Liga Perdana 2018 manakala Perak menaiki satu anak tangga untuk berada ditangga ke-5 liga.
Perak – Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam (Penjaga Gol), Mohamad Idris Ahmad, Thiago Junio De Aquino, Shathiya A/L Kandasamy (Amirul Azhan Aznan), Jasazrin Jamaludin, Kenny Pallraj A/L Davaragi (Leandro Dos Santos Oliveira), Shahrul Mohd Saad (Ketua Pasukan), Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak, Ahmad Khairil Anuar Zamri, Abdul Hadi Yahaya & Mohd Nizad Ayub (Nazirul Naim Che Hashim)
Pulau Pinang – Sani Anuar Kamsani (Penjaga Gol), Mohammad Khairul Akmal Rokisham, Mafry Balang (Ketua Pasukan), Brendan Marquee Mcdonald, Rafiuddin Roddin (Muhamad Faizat Mohamad Ghazli), Azidan Sarudin, Mohd Faiz Subri (Reuben Thayaparan Kathiripillai), Mohamed Syamer Kutty Abba, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (Mark Andrew Hartmann), Mohd Azrul Ahmad & Sanna Nyassi