Quantcast

LIGA MALAYSIA

Perak Pertimbang Beraksi Tanpa Pemain Import Musim Depan

Bajet tahunan yang terlalu besar untuk mengendali pasukan bola sepak menyebabkan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memikirkan untuk tidak menggunakan khidmat pemain import pada musim hadapan.

Menteri Besar Perak itu beranggapan, nilai RM30 juta itu perlu dikecilkan memandangkan ia melibatkan peruntukan tahunan kerajaan negeri yang sewajarnya dimanfaatkan untuk tujuan lain yang lebih penting untuk rakyat negeri Perak.

Langkah untuk tidak mengambil pemain import boleh menjimatkan ratusan ribu (mungkin juta) ringgit. Tambah beliau lagi, adalah lebih baik duit itu dimanfaatkan untuk program pembangunan bakat-bakat muda dalam kalangan anak tempatan di negeri tersebut.

Kredit Foto: Stadium AstroKredit

Beliau membayangkan anak muda Perak berusia bawah 15 tahun dapat menjalani latihan di akademi bola sepak luar negara yang tersohor seperti Manchester United, Manchester City dan Arsenal.

“Saya kira-kira perbelanjaan mereka untuk seorang pemain hanya RM20,000 sebulan. Jadi kalau seorang pemain (import) saya bayar RM80,000 lepas itu dia cedera, saya tetap kena bayar, dia tak sepak gol pun kena bayar, dia buat-buat jatuh dalam kotak penalti pun saya kena bayar, apakehei (apa halnya)?

Kredit Foto: Utusan Malaysia

“Baik saya gunakan RM80,000 ini untuk saya cari empat orang anak kita yang terbaik untuk kita hantar belajar (main bola sepak). Saya fikir-fikir kita belanja RM30 juta, Piala FA pun lebur juga,” katanya. lagi kepada wartawan Utusan Malaysia.

Menurut Menteri Besar yang lebih mesra dengan panggilan Peja itu, kerajaan negeri membelanjakan RM22 juta dalam usaha untuk membantu rakyat negeri Perak yang susah menerusi Kad Perak Prihatin.

Oleh yang demikian, perbelanjaan RM30 juta hanya untuk menghidupkan sebuah pasukan bola sepak boleh dianggap sebagai satu pembaziran.

“Jadi, kalaulah saya buat keputusan untuk tidak ada pemain import pada musim yang akan datang, itulah alasan kita,” katanya lagi selepas merasmikan Kejohanan Jemputan Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Ahli Parlimen Tambun 2019 di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Rambutan.

Kredit foto: Utusan Malaysia