Pasukan Liga Super, Perak menafikan yang mereka berhutang dengan mana-mana pihak berkenaan gaji.
Hal ini berlaku selepas mantan jurulatih mereka, Datuk Lim Teong Kim melakukan aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) mengenai tunggakan gajinya yang dikatakan tidak dibayar oleh Perak untuk 16 bulan.
Menurut Teong Kim, pemecatan yang dilakukan terhadapnya adalah tidak sah dan gagal mengikut cara yang betul lantas beliau membuat tindakan tersebut.
Akan tetapi, Perak kemudiannya mengeluarkan kenyataan yang mereka tidak berhutang dengan sesiapa pun baik pemain, staf atau juga jurulatih.
“Perak juga ingin menjelaskan bahawa pihak kelab tidak menahan atau berhutang sebarang bayaran kepada mana-mana pekerja, pemain atau jurulatih sehingga kini.
“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Datuk Lim Teong Kim telah dilepaskan daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih dan perkara ini kini berada di pihak peguam kelab untuk diselesaikan,” kata Perak dalam kenyataan mereka.
Menurut Berita Harian, Teong Kim yang diwakili oleh peguamnya iaitu Adam Yap Boon Han mengemukakan aduan kerana faktor penamatan kontrak yang tidak matang iaitu pada 24 Mei secara serta-merta.
Pihak Teong Kim akan mendapatkan keadilan yang mereka cari bagi memastikan penamatan kontrak yang sepatutnya adalah dua tahun kepada lapan bulan ini akan berakhir dengan baik.
Mereka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas jika tuntutan bayaran tunggakan gaji itu tidak dilakukan dengan sempurna.
Teong Kim disingkirkan oleh Perak selepas pengendali kontroversi itu tidak berhasil menjadikan pasukan muda Perak kompetitif seperti yang diharapkan.
Yusri Che Lah kini diangkat sebagai pengendali baharu pasukan itu.