Dengan majoriti pasukan Liga Super dan Premier sedang galak memperkuatkan pasukan masing-masing ketika ini, Perak turut tak mahu ketinggalan.
Selepas menyingkirkan ketua jurulatih Karl Heinz Weigang pada bulan Februari 2017 lepas, ketua jurulatih Perak ketika ini, Mehmet Durakovic sedang sibuk mencari pemain-pemain yang sesuai dengan taktikalnya.
Dan dalam pada masa yang sama, Durakovic turut mengeluarkan pemain-pemain tempatan Perak yang tak berada dalam perancangannya.
Menurut sumber rapat pasukan Perak yang memberitahu kami, ketiadaan Vladislav Mirchev dan Faton Toski dalam senarai skuad kesebelasan utama Perak ketika aksi Liga Super menentang Sarawak pada 24 Mei lepas adalah petanda jelas mereka berdua bakal diganti.
Perak sekadar seri 0-0 dengan Sarawak dalam perlawanan tersebut.
Mirchev hambar
Vladislav Mirchev (gambar bawah) mula hilang tempat kesebelasan utama semasa keputusan seri 3-3 Perak dengan Sarawak di Kuching pada 15 April lepas. Sejak itu, tempat beliau diganti oleh Abdul Hadi Yahya.
Bagaimanapun keputusan Durakovic yang memasukkan Hadi jelas tidak mendapat sokongan penyokong Perak yang berpendapat Hadi sudah ‘melepasi zaman kegemilangannya’.
Tempat Hadi dalam kesebelasan utama dijangka tidak akan bertahan lama selepas liga bersambung nanti kerana Perak dikhabarkan akan mendapat khidmat bekas penyerang Kelantan dan Sarawak, Gilmar.
Pemilihan Gilmar dianggap bersesuaian dengan pelan taktikal Durakovic yang sentiasa memerlukan seorang target man yang mampu menjaringkan gol dalam pasukannya.
Semasa mengurus Selangor pada musim pertamanya (2014), Durakovic mempunyai Paulo Rangel yang menjaringkan 16 gol dalam Liga Super dan berjaya memimpin Selangor menduduki tangga ke-2 Liga Super.
Pada musim 2015, Durakovic menggantikan Rangel dengan seorang lagi target man berkebolehan, Guilherme de Paula. Dengan adanya de Paula, Durakovic berjaya membawa Selangor menjuarai Piala Malaysia 2015.
Jika diperhatikan Gilmar mempunyai gaya permainan yang hampir serupa dengan Rangel dan de Paula.
Pengganti Faton Taski sedang giat dicari
Perak juga dikhabarkan sedang giat mencari pengganti Faton Toski (gambar bawah).
Ketika pemain Kosovo ini digugurkan semasa menentang Sarawak di Ipoh, Durakovic memindahkan Yashir Pinto dari sayap kiri ke posisi semulajadinya iaitu tengah menyerang (pemain no.10).
Kami menjangkakan Pinto akan kekal bermain di posisi tengah menyerang ini apabila liga kembali bersambung selepas cuti Hari Raya nanti. Ini bermakna Perak mempunyai kekurangan pemain di bahagian sayap.
Sumber rapat pasukan Perak mendedahkan ketika ini Perak sedang menguji seorang pemain kelahiran Korea Selatan di posisi tersebut.
Pemain simpanan berhijrah
Selain 2 pemain import ini, Durakovic turut membenarkan pemergian 4 pemain tempatan yang hanya memegang watak pemain simpanan pada musim ini.
Pemain sayap, Ridzuan Azly dilaporkan akan berhijrah secara pinjaman ke pasukan Liga Premier, Kuala Lumpur. Seorang lagi pemain sayap, Hafiz Ramdan pula akan dipinjamkan ke PKNP FC. Turut bakal menyertai Hafiz di PKNP secara pinjaman adalah Raffi Nagorgani.
Sementara itu pemain tengah, Nurhakim Isa pula akan berhijrah secara tetap ke Melaka United selepas gagal memenuhi potensinya di Perak.