Perak merupakan salah sebuah pasukan yang tidak pernah merasai peritnya tersingkir ke liga bawahan sepanjang kewujudan mereka.
Akan tetapi, kejayaan menjulang piala sepertinya sudah lama tidak singgah ke Stadium Perak di Ipoh.
Musim ini, mereka mempunyai azam baharu – untuk menjuarai Liga Super.
Menurut Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Perak menjadikan inspirasi kejuaraan Leicester City sewaktu menjuarai Premier League pada 2016 sebagai pembakar semangat mereka.
Katanya, jika Leicester City mampu melakukannya kenapa tidak Perak?
“Sewaktu Leicester City menjuarai Premier League pada 2016, mereka bukanlah pasukan pilihan untuk menjuarinya.”
“Namun apa yang mereka lakukan adalah mereka terus mencipta kejutan untuk menjuarai liga tersebut.”
“Jika Perak menunjukkan disiplin, semangat juang, cita-cita dan juga semangat tak berputus asa dengan baik, pastinya kejuaraan liga bola di bawah pulang ke Perak.”
Pada musim 2015/2016, Leicester City mencipta kejutan dengan menjuarai Premier League selepas pada musim sebelumnya berjuang bermati-matian untuk kekal dalam liga tersebut.
Kejayaan itu nyata telah menjadi salah sebuah kejayaan yang paling mengejutkan dalam dunia bola sepak.
Perak nyata mahu menamatkan dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super pada musim ini.
Walaupun JDT tetap sebagai pasukan utama untuk menjadi juara, namun Perak yakin saingan sengit dapat diberikan pada musim ini selepas mereka membawa masuk pemain baharu.
Robert Cornwhaite, Brendan Gan dan juga bintang Filipina iaitu Misagh Bahadoran telah dibawa masuk oleh Mehmet Durakovic dalam usaha untuk memperbaiki kedudukan mereka musim lalu.
Musim lalu, Perak menduduki tangga ke-5 dalam saingan Liga Super.