Perak memperoleh kemenangan ke-8 dalam saingan Liga Super 2017 apabila berjaya menumbangkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.
Separuh masa pertama
Perak tidak menunggu lama untuk menguji kubu pasukan bimbingan Sven Gartung itu apabila Hafiz Kamal dan Nazrin Nawi melakukan 2 percubaan tepat ke pintu gol PKNS FC pada minit ke-4 dan 6 perlawanan.
Penjaga gol PKNS FC, Muhammad Zamir Selamat lebih tangkas menafikan percubaan berturut-turut itu.
Peluang pertama buat pasukan pelawat hadir pada minit ke-16 menerusi Bobby Gonzales yang melakukan sepakan leret dari luar kotak penalti namun Hafizul Hakim lebih bersedia.
Patrick Ronaldinho Wleh hampir memberikan jaringan pendahuluan buat PKNS FC apabila mendapat umpanan cantik dari Pak Kwangil.
Kuisan yang dilakukan pemain dari Liberia itu pada minit ke-31 walaubagaimanapun berjaya ditepis keluar Hafizul Hakim bagi menyelamatkan gawang Perak.
PKNS FC terus mengasak dan sekali lagi mencemaskan penyokong Perak apabila sepakan bebas luar kotak penalti dari Shahrul Azhar Ture hanya singgah di palang gol pasukan Perak.
Kedudukan tanpa jaringan kekal hingga tamat babak pertama.
Separuh masa kedua
Tuan rumah berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-54 menerusi Mohd Nazrin Mohd Nawi.
Hantaran lintang yang dilakukan Nazrin gagal diselamatkan dengan baik oleh Zamir untuk jaringan pendahuluan buat Perak.
Jaringan tersebut ternyata meningkatkan suhu permainan tuan rumah bagi terus memburu jaringan dan usaha tersebut berhasil 5 minit kemudian.
Gol berpunca dari sepakan percuma dilakukan Nazrin Nawi tepat ke Gilmar Jose Da Silva yang tidak mensia-siakan peluang untuk jaringan kedua buat skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu.
PKNS FC berpeluang untuk merapatkan jurang apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Leandro Dos Santos menjatuhkan Patrick Ronaldinho dalam kotak penalti.
Patrick yang mengambil sepakan tersebut melepaskan peluang apabila sepakan yang dilakukannya tersasar melewati palang gol Perak pada minit ke-79.
PKNS FC tidak berputus asa untuk merobek kubu Perak namun pertahanan Perak masih kental bertahan hingga tamat perlawanan dengan keputusan 2-0 buat Perak.
Kemenangan ini tidak merubah kedudukan Perak dalam saingan liga yang kini berada di tangga ke-6 dengan memperoleh 30 mata.
Barisan pemain :
Perak
Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam (Penjaga Gol), Amirul Azhan Aznan, Muhd Shahrom Abdul Kalam (Ketua Pasukan), Thiago Junio De Aquino, Nazirul Naim Che Hashim, Leandro Dos Santos Oliveira (Shahrul Mohd Saad), Mohd Hafiz Kamal, Mohamad Nasir Basharudin (Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak), Mohd Nazrin Nawi, Yashir Armando Pinto Islame (Abdul Hadi Yahaya) & Gilmar Jose Da Silva Filho
PKNS FC
Muhammad Zamir Selamat (Penjaga Gol), Mohamad Azmi Muslim, Abdou Jammeh, Mohd Fauzan Dzulkifli (Ketua Pasukan), Sivakumar Munusamy, Pak Kwangil, Rajes Perumal, Shahrul Azhar Ture, Gurusamy Govindar Kandasamy, Bobby Gonzales (Mohd Nizam Abu Bakar) & Patrick Ronaldinho Wleh