XOX Bhd melalui anak syarikatnya, XOX Pro Sport Sdn Bhd hari ini mengumumkan telah menyelesaikan pengambilalihan kelab Liga Premier, Perak menerusi syarikat Perak FC Sdn Bhd.
Berita tersebut pastinya memberikan kelegaan kepada banyak pihak terutamanya para penyokong skuad The Bos Gaurus yang mahu melihat pasukan keluar dari masalah kewangan yang membelenggu pada awal musim ini.
Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan oleh unit media Perak, pengambilalihan tersebut selaras dengan strategi XOX Pro Sport untuk menumpukan fokus sepenuhnya pada pemasaran dan pengurusan sukan.
“Ianya memang misi XOX untuk melibat secara aktif dalam sukan, untuk memupuk bakat sukan akar umbi tempatan dan terus membina warisan kelab itu,” ujar kenyataan itu.
“Lembaga Pengarah dan Eksekutif XOX akan menyerahkan tanggungjawab kepada pengurusan Perak FC untuk operasi harian, diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) En. Bobie Farid Shamuddin. XOX berharap ini akan mengembalikan kestabilan dan kejayaan untuk Perak FC.
“XOX akan memastikan bahawa secara kolektif, ia akan mendatangkan manfaat peluang & perkongsian komersil serta membina ekosistem yang mantap untuk meningkatkan mutu rangkaian dan barangan penawarannya kepada orang ramai di Malaysia.”
Syarikat telekomunisi itu berharap pengumuman tersebut akan memberikan rasa kestabilan dan keselamatan kepada penyokong yang mengetahui bahawa kelab itu berada dalam keadaan yang kukuh.
Usaha pengambilalihan penuh pasukan ini telah bermula sejak Mei lalu selepas XOX memeterai perjanjian penjualan saham bersama Impact Media & Communication Sdn Bhd dengan nilai RM1.
Jumlah itu mengambil kira segala faktor seperti kerugian selepas cukuap sebanyak 2.32 juta, liabiti bersih berjumlah RM3.5 juta sehingga Jun 2021 serta kesukaran operasi dan liabiliti tertunggak kira-kira RM7 juta setakat 31 Disember 2021.
Dalam tempoh itu, sedikit demi sedikit hutang-hutang tertunggak termasuk gaji pemain serta pegawai pasukan berjaya diselesaikan.