Ketika mengulas perlawanan antarabangsa England di Sky Sports pada 2012 dahulu, Harry Redknapp dengan selambanya pernah memberitahu:
Tactics are not important in football. It’s all about the players and how well they play together.
Kenyataan Harry Redknapp menyebabkan polarisasi di kalangan peminat bola sepak. Di satu bahagian adalah penyokong kenyataan Harry Redknapp. Mereka berpendapat kemenangan sesebuah pasukan dalam perlawanan bola sepak bergantung kepada kebolehan pemain itu sendiri. Taktik adalah alat bagi kaki bangku untuk mempengaruhi bola sepak.
Di satu bahagian yang lain pula, adalah pembaca tegar blog Michael Cox, buku Jonathan Wilson dan penonton Monday Night Football (Sky Sports) atau Match of the Day (BBC). Mereka berpendapat taktik adalah komponen penting untuk menjamin kemenangan sesebuah pasukan. Mereka berpendapat kerana kenyataan sebegitulah, pencapaian tertinggi karier pengurusannya hanyalah setakat mengurus Tottenham Hotspurs.
Jika anda masih bertahan membaca sehingga ke perenggan ini, anda pasti tertanya-tanya apa kaitannya falsafah bola sepak Harry Redknapp ini dengan Perak FA yang bergelut di Liga Super pada musim lepas. Teruskan membaca…
Pada separuh masa pertama saingan liga, ketua jurulatih Perak FA, Abu Bakar Fadzim bergelut untuk menyelamatkan status Perak FA sebagai antara pasukan yang tidak pernah tersingkir dari liga pertama di Malaysia. Di bawah kendaliannya, Perak FA hanya menang 2 kali dan seri 2 kali, sekaligus menyebabkan pasukannya terperosok di dasar liga.
Untuk menyelamatkan pasukan pada separuh masa kedua saingan liga, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) membawa jurulatih lagenda yang kini bertugas sebagai tenaga pengajar di FIFA, Karl Heinz-Weigang untuk membantu Abu Bakar Fadzim. Membantu mungkin kedengaran terlalu lembut, sedangkan tugas Weigang yang sebenarnya adalah memperbaiki teknik latihan dan taktikal Abu Bakar Fadzim.
Di bawah tunjuk ajar Weigang dan kehadiran pemain import baru seperti Abdulafees Abdul Salam (kini di ATM), Milan Purovic (kini di Kuantan FC), Hasan Daher (kini di Al Ahed) dan Marco Tulio (kekal), Perak FA mengumpul 6 kemenangan termasuk kemenangan 2-0 menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar dan 3-0 menentang Pahang.
Episod kebangkitan Perak FA pada musim lepas membuktikan kelemahan Abu Bakar Fadzim sebagai ketua jurulatih. Beliau mungkin seorang jurulatih skuad muda yang bagus tetapi bukan seorang ketua jurulatih yang boleh memimpin pasukannya. Tetapi penyokong Perak FA boleh bersikap lebih optimistik pada musim ini apabila menyaksikan episod kebangkitan mereka diinspirasikan oleh pemain-pemain muda dari skuad Piala Presiden mereka seperti Nasir Basharudin, Norhakim Isa, Ridzuan Azly, Hafiz Ramdan, Khairul Asyraf dan Khairil Anuar.
Nama-nama mereka mungkin tidak terkenal, tetapi mereka lebih dahagakan kejayaan untuk pasukan negeri kelahiran mereka dan lebih senang menerima ajaran dan bimbingan jurulatih.
Barisan pemain baru
Musim ini Perak FA tampil dengan barisan penyerang baru. Chad Souza merupakan penyerang berbisa untuk PDRM di Liga Perdana musim lepas dengan menjaringkan 19 gol daripada 21 perlawanan. Selesa bermain di bahagian sayap atau serangan, Bobby Gonzalez mungkin baru kembali dari kecederaan dan belum cergas sepenuhnya untuk aksi pembukaan liga tetapi beliau menawarkan fleksibiliti kepada ketua jurulatih, M. Karathu di bahagian serangan.
Haris Safwan Kamal merupakan pemain tempatan yang mempunyai gaji paling mahal di Perak FA, sekaligus memberi gambaran yang beliau akan menjadi antara watak penting dalam jentera serangan Perak FA.
Nam Kung Woong merupakan pemain tengah yang menyerlah bersama pasukan Kedah musim lepas tetapi masih perlu bersaing merebut tempat kesebelasan utama dengan beberapa pemain muda tempatan yang sedang meningkat naik terutamanya Nurridzuan Abu Hassan yang merupakan anggota tetap kesebelasan utama Harimau Muda A yang bersaing di liga kedua Australia dan Ahmad Khairil Anuar atau nama panggilannya ‘Beto’ yang menyerlah semasa siri perlawanan persahabatan setelah diserap masuk dalam skuad senior dari skuad Piala Presiden.
Kekuatan
Satu bahagian yang pasti tidak menjadi masalah bagi Perak FA pada musim akan datang adalah bahagian tengah. Dengan lambakan bekas graduan skuad Piala Presiden yang menjadi juara 2 kali dalam masa 3 tahun, M. Karathu mempunyai jentera tengah yang muda, laju dan sangat berbakat. Ditambah dengan kritikan tidak berasas oleh seorang pengulas perlawanan tempatan yang mengatakan Perak FA hanya akan menjadi pasukan belasahan pada musim akan datang, mereka pasti lebih bermotivasi untuk membuktikan dakwaan pengulas tersebut salah.
Merupakan kapten pasukan termuda di Liga Super ketika ini, Nasir Basharuddin membuktikan beliau sememangnya layak menggalas tugas tersebut apabila memberikan persembahan yang berinspirasi terutamanya pada separuh masa kedua saingan liga. Seorang defensive midfielder yang rajin, Nasir juga mempunyai teknik hantaran yang baik, serta stamina yang tinggi. Persembahannya ketika Perak FA menewaskan Lions XII di di Stadium Jalan Besar merupakan persembahan midfield yang terbaik yang patut dirakam dalam bentuk DVD dan ditunjukkan kepada kanak-kanak dalam kelas ‘Bagaimana Caranya Bermain Di Bahagian Tengah’.
Kelemahan
Kata orang ‘goalscorers win you matches but goalkeepers and defenders win you the league’. Komponen paling penting dalam sebuah pasukan juara adalah pertahanan yang kebal. Perak FA telah pun membawa masuk pertahanan Brazil, Thiago Jr. Aguino yang sebelum ini bermain di liga Vietnam untuk berpasangan dengan Idris Ahmad di pertahanan tengah, tetapi mereka nampak goyah bertahan ketika menentang pasukan yang mempunyai pemain yang laju.
Melainkan penyerang Perak FA boleh menjaringkan gol lebih banyak daripada jumlah gol yang mereka bolos, Perak perlu mencari formula untuk memaksimakan potensi penyerang-penyerang mereka sambil mengetatkan pertahanan mereka untuk keluar dari status ‘pasukan belasahan’.
Ayam tambatan
Mana-mana penyerang pastinya akan suka bermain di sebuah pasukan yang mempunyai barisan pemain tengah yang berbakat. Chad Souza tidak perlu risau tentang bahagian tengah kerana Perak FA mempunyai banyak pemain yang boleh mencipta peluang gol. Di Perak FA, beliau berpotensi untuk mengulangi pencapaiannya di Liga Perdana apabila muncul antara penyerang paling berbisa di Malaysia musim lepas.
Souza mempunyai fizikal dan teknik penyudah yang bagus dan hampir pasti akan mengetuai jentera serangan Perak FA. Jika musim lepas, pemain tengah Perak FA terpaksa membantu meringankan beban penyerang yang sukar menjaringkan gol, musim ini Perak mempunyai pemain yang dilahirkan hanya untuk tujuan tersebut.
Like page SemuanyaBOLA di Facebook.
Follow Twitter kami di @semuanyabola.