Pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim boleh dianggap sebagai wira sebenar bola sepak negara kerana selain mengangkat taraf Liga Malaysia (Liga-M) lebih dikenali, TMJ juga telah membantu banyak pasukan tempatan mengenai dana kewangan.
Menurut Tunku Ismail, pendedahan yang dibuat setakat ini mengenai lima pasukan tempatan yang telah diberi bantuan dana oleh baginda yang mengalami isu gaji sebelum ini.
"Saya ada beri bantuan kepada Perak FC tiga hari lepas untuk kurangkan beban membabitkan tunggakan gaji pemain selepas pengurusan kelab itu datang berjumpa dengan saya" Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemilik Kelab JDT.
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) March 19, 2022
Lebih menarik, Selangor juga antara pasukan yang telah dibantu TMJ dari segi kewangan apabila baginda sendiri menjelaskan bantuan yang diberi itu menerusi duit poket sendiri kerana ketika itu pasukan The Red Giants mengalami masalah tunggakan gaji pemain.
Selaku Penaung Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), TMJ menerangkan selain Selangor, pasukan lain yang telah diberi bantuan ialah Perak, Kelantan, Penang, serta Melaka yang sebelum itu mengalami masalah yang sama.
Dalam masa sama TMJ turut berkata, apa yang dibuat oleh baginda mengenai bantuan tersebut sebelum ini tidak dihebohkan kepada media dan itu pertama kali pendedahan dibuat.
“Baru-baru ini saya ada bantu Perak FC, tiga hari lepas pengurusan Perak FC ada datang berjumpa saya dan saya ada bagi sedikit sumbangan dan bantuan.
“Saya tak boleh cakap berapa (jumlah), tapi saya ada bagi sedikit bantuan untuk kurangkan beban Perak FC dan saya harap masalah itu (tunggakan gaji) boleh mereka selesaikan dalam masa terdekat.
“Dalam karier saya terbabit dalam bola sepak di negara ini, sudah banyak pasukan saya tolong. Cuma saya tak bagi tahu media sahaja.
“Tapi oleh kerana sahabat kita (wartawan) sudah tanya. Saya pernah tolong Selangor dua kali, saya pernah tolong Kelantan dua kali dan saya juga pernah tolong kalau tak silap saya Penang sekali serta Melaka.
“Isu gaji, PFAM pun saya pernah tolong. Banyak yang orang tak tahu, sekarang semua orang tahu, kalau tak percaya boleh tanya tuan punya badan,” katanya pada sidang media selepas melawat padang di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Di samping itu, laporan juga mendedahkan TMJ sendiri pernah membantu beberapa pemain Liga Malaysia dalam hal kewangan setelah ada isu tunggakan gaji oleh kelab yang diwakili mereka.
Penyokong bola sepak sebelum ini juga sering mendengar dan mengetahui mengenai TMJ yang dilihat sering memperjuangkan masalah liga tempatan dengan suara baginda yang lantang mengkritik sesetengah kelemahan yang dihadapi termasuk isu tunggakan gaji yang dihadapi segelintir pemain dari kelab yang bermasalah.
Ikuti kami di TikTok!
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!