Ada semacam yang tidak kena dengan percaturan jadual perlawanan yang dilakukan FAM kerana sudah 3 minggu berturut-turut Perak bermain di halaman sendiri. Semalam, sekali lagi Perak menerima kunjungan PDRM selepas seri 0-0 dengan Kelantan, juga di Ipoh. Manakala PDRM pula bertandang ke Ipoh selepas ditewaskan Selangor 1-4. Di atas kertas, pertembungan ini nampak seimbang dengan kedua-dua pasukan menikmati prestasi yang agak baik di awal musim ketika ini.
Barisan kesebelasan Perak
M. Karathu melakukan kejutan apabila meletakkan Marco Tulio di bangku simpanan dan memilih pemain muda Sukri Hamid untuk bergandingan dengan Fikri Sudin di bahagian tengah. Hal ini mungkin ada kaitannya dengan kritikan Marco Tulio terhadap percaturan taktik Karathu yang dikatakan terlalu defensif. Nasir Basharudin pula mengalami kecederaan ligamen semasa perlawanan menentang Kelantan dan diketepikan selama 6 minggu.
Chad Souza mengalami kecederaan retak tulang kecil dan tempat beliau digantikan oleh bekas penyerang PDRM, Bobby Gonzales mengetuai jentera serangan Perak sambil dibantu oleh Namkung Woong yang lebih bertindak sebagai penyerang kedua berbanding pemain tengah menyerang.
Barisan kesebelasan PDRM
Azman Adnan meletakkan kepercayaan kepada barisan kesebelasan sama yang tewas 1-4 kepada Selangor pada minggu lepas. Mereka bermain dalam sistem tiga pertahanan tengah, dengan rangkaian tiga penyerang import. Ia adalah sistem yang menarik memandangkan majoriti pasukan di Liga Super menggunakan 4 pemain pertahanan.
Heavy pressing Perak
Statistik perlawanan menunjukkan Perak menguasai 55% penguasaan bola dan ini ada kaitannya dengan kerajinan (work rate) dan tekanan intensif (heavy pressing) yang dilakukan oleh semua pemain Perak, bermula dari Bobby Gonzales dan Namkung Woong.
10 minit pertama perlawanan menunjukkan Perak menguasai perlawanan. Setiap kali mereka kehilangan bola, pemain Perak akan melakukan pressing sehingga menyebabkan PDRM terkumpul di kubu mereka sendiri. Rentak menyerang Perak tidaklah begitu lancar, tetapi kebolehan mereka merampas bola melalui pressing sangat mengagumkan.
PDRM tidak dapat mengeluarkan bola dari kawasan mereka sendiri sehinggalah Ali Ashfaq dan Mohamadou Sumareh diarahkan Azman untuk turun untuk membantu jentera tengah mereka (dengan menawarkan passing outlet).
Baca: Kenapa Pahang Adalah Stoke City Versi Malaysia?
Jentera tengah Perak di bayangi Sumareh dan Ashfaq
Impak Sumareh dan Ashfaq merupakan faktor paling penting dalam perlawanan ini. Apabila PDRM memegang bola di kawasan mereka, salah seorang antara Sumareh atau Ashfaq akan turun ke ruang di belakang 2 pemain tengah Perak untuk menawarkan passing outlet kepada Ezrie dan Faizal.
Ini membuatkan jentera tengah Perak agak kucar-kacir kerana situasi 4v2 selalu berlaku di kawasan mereka. Situasi ini juga memaksa pertahanan tengah Perak (kebiasaannya Thiago) terpaksa keluar dari zon mereka untuk melakukan pressing kepada sama ada Ashfaq atau Sumareh.
Perak gagal mengambil kesempatan kelemahan PDRM di bahagian sayap
Seperti taktik bola sepak lain, PDRM juga mempunyai kelemahan. Bermain dalam sistem 3-4-3, PDRM hanya mempunyai seorang pemain di setiap kawasan sayap mereka. V. Thirumugan di sayap kanan dan Nizam Rodzi di sayap kiri mereka.
Perak yang bermain dengan seorang pemain sayap dan seorang pemain bek di setiap sayap boleh memanfaatkan kelemahan PDRM ini dengan mengfokuskan serangan mereka di bahagian sayap. Di kiri dan kanan, situasi 2v1 boleh dicipta dan ini boleh diterjemahkan kepada peluang gol.
Sebaliknya apabila mereka menyerang melalui sayap, mereka segera memindahkan bola ke bahagian tengah. Kawasan permainan yang jelas didominasi pemain PDRM. Syazwan dan Arif pula tidak diarahkan untuk membantu pemain sayap mereka menyerang.
Malangnya, Perak masih berkeras membuat hantaran jauh terus kepada dua penyerang mereka sedangkan sudah jelas lagikan bersuluh, PDRM mempunyai 3 pemain pertahanan untuk menangani setiap bahaya yang ditawarkan oleh 2 penyerang Perak. Situasi 3v2 di kubu PDRM jelas memihak pasukan pelawat. Ini menjelaskan punca mengapa penyerang Perak sukar mencipta peluang gol mereka sendiri.
Thiago Aquino – lebih dari sekadar pemain pertahanan?
Selepas Perak dipaksa bermain 10 orang selepas Syazwan Roslan dibuang padang (yang berpunca dari jentera tengah Perak yang jelas didominasi Ashfaq dan Sumareh), Perak mempunyai seorang pemain yang memikul tugas bertahan, merancang dan menyerang iaitu Thiago.
Beliau mungkin bersalah atas gol penyamaan Lions XII semasa perlawanan dua minggu lepas, tetapi dalam perlawanan ini Thiago memikul tugasnya sebagai kapten dengan cemerlang. Beliau tidak kelihatan letih, malah lebih menyerlah setelah perlawanan masuk ke minit 80 dan setelah kepalanya berbalut kerana kecederaan.
Baca: Pendapat Penyokong Santos Dan Estudiantes Tentang Pemain Baru JDT: Patricio Rodriguez
Kesimpulan
Kekalahan pertama Perak ini bukanlah sesuatu yang mahu Karathu sajikan di hadapan penyokong Perak sendiri, tetapi ia penting untuk kematangan pemain muda Perak dan kematangan percaturan taktik Karathu sendiri. PDRM mungkin baru dinaikkan liga, tetapi seperti FELDA United mereka adalah pasukan yang boleh mencabar kejuaraan liga Super.
Like page SemuanyaBOLA di Facebook.
Follow Twitter kami di @semuanyabola.
Sumber gambar: Media Perak FA