Pep Guardiola menggelar Antonio Conte sebagai ‘master’ dalam taktikal. Conte telah melakukan perkara yang luar biasa dalam bola sepak Inggeris musim lalu dengan taktikal beliau.
Menurut Guardiola, Antonio Conte telah menyumbang satu rujukan taktikal penting di EPL untuk dijadikan panduan ramai pengurus lain.
Conte menukar sistem 4-3-3 dan 4-1-4-1 Chelsea kepada sistem 3-4-3/5-3-2 untuk membolehkan pasukan tersebut menjuarai EPL musim lalu.
Ianya selepas Chelsea tewas 3-0 di tangan Arsenal. Selepas itu, Chelsea melakukan perubahan drastik dengan rekod 13 kemenangan berturut-turut.
Hari ini, ada pihak yang merasakan Conte tidak relevan dan menuduh kejayaan Chelsea musim lalu adalah lebih kepada nasib. Guardiola kecewa dengan pihak yang memandang rendah dengan apa yang Conte lakukan.
“Rasanya Conte sudah meninggalkan sesuatu kepada bola sepak Inggeris. Saya pasti tentang itu.”
Musim ini, kempen Chelsea nampak lebih sukar dengan jurang mata Chelsea dengan pasukan pendahulu, Manchester City sangat jauh. Chelsea kini berada di tangga ke-5. Sekaligus mengundang persoalan tentang masa depan beliau di Stamford Bridge.
Guardiola menganggap rakan sejawatannya itu kurang dihargai berbanding dengan pengurus lain.
“Apa yang Conte telah lakukan di EPL, mungkin ramai orang tidak sedar. Beliau memperkenalkan cara menyerang dengan bek berlima. Itu sistem yang tersendiri.”
“Banyak pasukan cuba meniru pendekatan mereka termasuk Arsenal.”
“Secara taktikalnya, saya boleh gelar beliau adalah pakar (master). Beliau melakukan sesuatu yang luar biasa dengan pasukan kebangsaan dan juga ketika di Turin (Juventus).”
Chelsea akan berkunjung ke Stadium Etihad pada hari ini untuk perlawanan EPL. Manchester City dalam prestasi terbaik mereka. Manakala Chelsea masih dibelenggu isu konsistensi.
Mampukah Conte menjelmakan magis beliau bersama Chelsea hari ini?