Pep Guardiola bertindak mempertahankan Manchester City daripada tuduhan salah laku Financial Fair Play (FFP) yang dilemparkan Der Spiegel baru-baru ini.
Namun demikian Guardiola yang membantu City muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim kedua bersama kelab tersebut berkata mereka tidak boleh menghalang persepsi kelab tersebut berjaya meraih kejuaraan kerana kemampuan kewangan mereka.
Sebelum ini sebuah majalah dari Jerman, Der Spiegel mengeluarkan beberapa laporan berdasarkan sumber yang diperolehi dari Football Leaks mengenai salah laku kelab berkenaan mengenai peraturan FFP oleh UEFA.
Manchester City kemudiannya menjawab tuduhan tersebut pada Jumaat lalu. Kenyataan tersebut berkata mereka enggan memberikan sebarang komen lanjut mengenai dakwaanyang dianggap sebagai percubaan untuk merosakkan reputasi kelab.
Guardiola bercakap mengenai dakwaan tersebut ketika sidang media menjelang perlawanan UEFA Champions League (UCL) menentang Shaktar Donetsk pada awal pagi Khamis ini.
“Anda harus menerima dakwaan mereka yang berkata kelab ini menang kerana wang. Apa lagi yang boleh dikatakan? Kami harus menerima persepsi sebegitu. Tetapi kami percaya kami telah bekerja keras. Bukan sahaja saya sebagai pengurus. Kakitangan lain terutama pemain juga sama,” ujar Guardiola.
“Saya selalu berkata kami tidak akan mampu mencapai apa yang telah dicapai oleh kelab-kelab utama eropah yang lain. Kelab lain berjaya melakukannya kerana mereka telah berbelanja. Mengapa harus berbelanja? Kerana mereka memerlukan pemain yang berkualiti. Tanpa pemain yang berkualiti, kami juga tidak akan mampu berjaya.
“Jika ada pihak hanya melihat hanya kepada faktor kewangan, maka kita harus menerima tanggapan mereka. Pada pandangan peribadi saya, tanggapan sedemikian amat salah. Kami bekerja keras dalam pelbagai cara. Kerana itu saya mempertahankan kelab ini, terutama para pemain atas kerja yang mereka lakukan.
Guardiola juga percaya dan yakin Manchester City mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan melewati semua pertandingan.
“Mengenai isu butiran email yang dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab, pihak kelab telah memberikan kenyataan pada Jumaat lalu. Secara peribadi, sudah tentu saya yakin dengan setiap langkah yang telah diambil oleh kelan ini.
“Sudah tentu kami mahu mematuhi setiap peraturan oleh UEFA, FIFA dan juga Premier League. Kami lakukan apa yang perlu dilakukan.
“Percayalah, saya bercakap jujur. Saya tidak tahu apa yang berlaku kerana saya ialah seorang pengurus. Fokus saya ialah kepada apa yang berlaku di atas padang dan juga di bilik persalinan.
“Mengenai urusniaga dan bagaimana pihak kelab melakukannya, ia bukan atas bidang kuasa saya. Saya adalah sebahagian daropada kelab ini, dan akan memberikan sokongan kepada kelab. Dan sudah tentu kami mahu melakukan apa yang perlu dilakukan dari segi pematuhan peraturan.
“Tetapi mengenai pendapat dan dakwaan yang memperlekehkan usaha yang dilakukan di sini, ia terpulang kepada pendapat masing-masing. Akhirnya kami masih perlu memberikan fokus kepada apa yang boleh kami lakukan di atas padang.
Manchester City akan melayakkan diri ke pusingan 16 pasukan terbaik UCL jika menewaskan Shakhtar dalam perlawanan pada awal pagi nanti di Etihad.
Football Leaks turut mendedahkan Guardiola akan menerima bonus sebanyak £2 juta jika berjaya membawa kejuaraan UCL ke Etihad.