Menjadi satu lumrah dalam bola sepak apabila satu-satu pasukan terlepas mendapatkan pemain yang mereka mahukan.
Hal ini kerana, pemain yang dimahukan mempunyai pilihan lain sama ada untuk kekal di kelab asal mahupun berpindah ke kelab lain pilihannya.
Itulah yang terjadi kini buat pengurus Manchester City iaitu Pep Guardiola.
Beliau ketika ini terlepas peluang untuk mendapatkan pemain Jorginho yang memilih untuk menyertai Maurizio Sarri di Chelsea.
Ketika ditanya mengenai perpindahan tersebut, Guardiola berkata beliau tidak kecewa kerana terlepas mendapatkan pemain tersebut.
“Saya tidak kecewa. Kami telah mencuba. Semuanya pun telah diselesaikan (perpindahan Jorginho ke Chelsea).”
“Nasihat saya untuk para pemain adalah pergilah ke pasukan yang mereka mahu untuk pergi.”
Tambah Guardiola lagi, andai Jorginho benar pergi ke Manchester City maka perpindahan itu tidak akan berjaya dan merugikan kedua-dua pihak.
“Ia akan menjadi satu kesilapan besar buat kami dan juga Jorginho sendiri andai beliau benar menjadi pemain kami sedangkan hatinya mahu bermain untuk Maurizio Sarri.”
Manchester City setakat ini hanya mendapatkan seorang pemain sahaja bagi musim dengan memperoleh Riyah Mahrez dari Leicester City.
Secara asasnya, Guardiola mengatakan Manchester City akan bermula dari peringkat awal seperti mana pada musim ini.
Manchester City menjulang kejuaraan Premier League dengan rekod cukup cemerlang apabila mengutip 100 mata selepas tamat 38 perlawanan.