Pengurus Manchester City, Josep ‘Pep’ Guardiola menyifatkan perjalanan masih panjang buat pemain muda, Leroy Sane untuk dibandingkan dengan legenda Manchester United, Ryan Giggs.
Guardiola juga menegaskan bahawa Sane perlu terus mengembangkan bakatnya untuk mencapai tahap seperti pemain sayap yang kini merupakan pengurus skuad kebangsaan Wales.
Sane, 22 tahun, baru sahaja dinobatkan selaku Pemain Muda Terbaik Tahunan PFA selepas cemerlang membantu Manchester City menjuarai Liga Perdana Inggeris dan Piala Carabao musim ini.
”Ianya terlalu awal (untuk membuat perbandingan). Sudah tentu, mereka bermain di sebelah kiri, mereka begitu pantas dan tidak mudah buat pemain pertahanan untuk berhadapan dengan mereka,” jelas Pep Guardiola menjelang kunjungan ke West Ham pada Ahad ini.
”Tetapi Ryan Giggs merupakan legenda dalam dunia bola sepak, bukan hanya untuk Manchester United dan bola sepak Inggeris.”
”Saya merasakan Leroy (Sane) mempunyai sasaran yang baik untuk mencuba dan mengikuti Ryan Giggs.”
”Saya fikir perkara yang penting dari Leroy musim ini adalah konsisten ketika perlawanan,” jelas Guardiola lagi.
”Satu atau dua orang boleh beraksi baik untuk tempoh yang pendek tetapi dia mampu untuk melakukan dengan begitu baik untuk tempoh masa panjang.”
Pemain antarabangsa Jerman itu menikmati musim yang cemerlang setelah berjaya menjaringkan 13 gol dan mencipta 16 bantuan jaringan dalam semua pertandingan yang disertai Manchester City.