Manchester City berjaya menumpaskan Arsenal 3-1 hasil jaringan hatrik Sergio Aguero pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi di Etihad Stadium.
Kemenangan tersebut mengakibatkan Liverpool hanya berkelebihan dua mata dihadapan Manchester City.
Namun, The Reds masih kekurangan satu perlawanan dan akan bertemu West Ham United pada jam 4.00 pagi esok di gelanggang lawan.
Walaupun kemenangan yang diraih ketika bertemu Arsenal amat berharga, Pep Guardiola merasakan tekanan masih dirasai pasukannya dan tidak bagi Liverpool.
”Saya lebih suka berada di kedudukan Liverpool berbanding di mana kami berada ketika ini.”
”Tekanan apabila anda berada di belakang. Sekiranya anda kehilangan mata, ia menjadi sukar. Apabila anda berada di tangga teratas dengan jarak mata, anda masih boleh kehilangan mata dan terus berada di atas.”
Namun begitu, Pep Guardiola masih meletakkan harapan terhadap anak buahnya untuk memberikan saingan sengit buat Liverpool bagi merebut kejuaraan liga.
”Sudah tentu kami perlu menang seberapa banyak perlawanan. Selepas tewas kepada Newcastle, semua orang menyangka kami akan ketinggalan tujuh mata. Tetapi semua orang berharap Liverpool menang keatas Leicester City.”
”Banyak perkara yang akan berlaku antara sekarang dan hujung musim. Ia akan menjadi sukar. Tetapi bola sepak sukar untuk dijangka. Sekarang kami ketinggalan dua mata, esok boleh jadi tiga, atau kembali kepada lima.”
Manchester City meneruskan misi memburu kemenangan Liga Perdana Inggeris pada Khamis ini apabila bakal berdepan Everton di Goodison Park dan selepas itu, Chelsea pula menjadi halangan mereka di Etihad Stadium.