Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui beliau tidak pasti bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan permintaan bagi mencabar dalam empat pertandingan.
City yang mempamerkan prestasi memberangsangkan musim ini selesa menerajui Liga Perdana Inggeris dan ketika ini mereka sedang bertemu Crystal Palace di Selhurst Park dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukan kepada 16 mata.
Di samping itu, skuad bimbingan Pep Guardiola juga berjaya melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik dalam Liga Juara-Juara Eropah, separuh akhir Piala Carabao dan akan memulakan kempen dalam Piala FA pada minggu hadapan.
Pengendali dari Sepanyol itu telah menikmati 21 kejuaraan sepanjang membimbing Barcelona dan Bayern Munich. Namun, beliau merasakan untuk mencabar dengan hebat empat kejuaraan dalam satu musim adalah satu perkara yang belum pernah dihadapinya.
”Saya bimbang mengenai perkara ini,” kata Guardiola. ”Empat pertandingan, saya tidak pasti sama ada kami boleh melakukannya.”
”Anda perlu berhati-hati dengan jadual perlawanan, saya bimbang kerana kami tidak boleh beraksi setiap tiga hari.”
”Kami tidak boleh menurunkan Kevin De Bruyne pada setiap tiga hari untuk 80 minit permainan. Dia perlu berehat untuk kekal segar dan cergas bagi membantu pada bahagian akhir musim.”
”Saya tidak pernah berhadapan dengan situasi ini. Tiga pertandingan saya sudah biasa mengendalikannya banyak kali, tetapi empat pertandingan tidak pernah.”
”Dan yang keempat adalah permainan timbal balik dan juga masa tambahan. Kami akan melihat bagaimana kami akan menghadapi keadaan itu.”