Di sebalik kejayaan menumpaskan Watford 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris pagi tadi, pengendali Manchester City, Pep Guardiola menyelar jadual perlawanan yang begitu padat untuk dihadapi.
Kerisauan Guardiola semakin menjadi nyata apabila pertahanan, Kyle Walker mengalami kecederaan pada minit-minit akhir perlawanan.
Pada perlawanan bertemu Crystal Palace sebelum ini yang menyaksikan Manchester City hanya mencatatkan keputusan seri, mereka kehilangan Gabriel Jesus yang mengalami kecederaan Medial Collateral Ligament (MCL) dan Kevin De Bruyne juga terpaksa dikeluarkan akibat terjahan berbahaya dari Jason Puncheon.
Guardiola yang gembira dengan kemenangan ke-20 dalam saingan liga musim ini mengulas berkenaan kecederaan yang dialami Kyle Walker seterusnya meluahkan kekecewaannya mengenai jadual padat dalam saingan liga.
Beliau berkata: ”Kami akan memeriksa kecederaan yang dialaminya, mungkin terdapat ‘sedikit masalah’.” kata Guardiola ketika ditanya mengenai Walker yang dilaporkan berkemungkinan mengalami kecederaan ‘groin’.
”Semua orang dapat melihat pada hujung minggu lalu berapa ramai pemain kami yang mengalami kecederaan. Ia seolah-olah kami mahu ‘membunuh’ pemain kami. Ketua di persatuan (FA England) perlu memikirkan soal ini. Ianya tidak normal untuk bermain pada tarikh 31 haribulan dan dua hari kemudiannya.”
”Saya tahu saingan mesti diteruskan, tetapi mereka perlu untuk mengawal perkara ini. Mereka tidak melindungi pemain. Orang ramai datang menyaksikan perlawanan, bukannya pengurus atau juga sidang media. Di England, anda tidak melindungi pemain dan perlu melihat kepada kualiti, bukannya kuantiti.”
”Sudah pastinya, ruang pada perlawanan itu. Saya tidak mengatakan untuk mengubah Boxing Day, tradisi yang hebat tetapi anda tidak boleh beraksi di Selhurst Park, mengharapkan untuk menyambut tahun baru tetapi perlu memikirkan tentang perlawanan pada dua hari kemudian.”
”Ini adalah bola sepak dan bukannya bola keranjang mahupun tenis, pemain memerlukan proses pemulihan. Lihat sahaja berapa ramai pemain yang mengalami kecederaan otot.”