Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mencabar mana-mana pihak yang mempersoal tindakan kelab mereka yang berbelanja besar di pasaran pemain.
Guardiola yang menghabiskan £100 juta untuk pemain England, Jack Grealish pada jendela perpindahan ini meminta mana-mana pihak untuk tunjukkan bukti yang berbelanja besar itu adalah salah.
Sebelum ini, pengurus Liverpool iaitu Jurgen Klopp mengatakan pasukan seperti City dan Paris Saint-Germain (PSG) tiada masalah untuk berbelanja kerana mereka tidak ada had untuk melakukannya.
Tetapi Guardiola menolak idea tersebut kerana pada hemat beliau, semua pasukan termasuk City turut terikat seperti Liverpool.
“Saya pernah katakan sebelum ini, ada pemilik kelab yang mahukan pulangan daripada pelaburan yang dilakukan oleh mereka.”
“Pemilik kelab saya tidak mahu rugi, tetapi jika perlu berbelanja mereka akan lakukannya,” kata Guardiola menerusi BBC Sport.
Guardiola memberikan contoh kelab jiran mereka iaitu Manchester United yang juga berbelanja besar.
“Sebelum ini, Manchester United memenangi pelbagai kejuaraan kerana mereka berbelanja lebih besar berbanding pasukan lain. Dah lupa?”
“Sebelum ini hanya adalah beberapa pasukan sahaja yang boleh berbelanja besar. Selepas itu barulah Chelsea dimiliki oleh Roman Abramovich dan Sheikh Mansour untuk City. Mereka mahu berada dalam dunia [bola sepak] ini. Apa masalahnya?”
Pada hemat Guardiola, City masih lagi terikat dengan peraturan seperti Financial Fair Play (FFP) dan tidak boleh berbelanja hingga tak ingat dunia.
“Kami ada had kerana FFP, kami sama seperti pasukan lain.”
“Semua kelab perlu cari jalan bagaimana mereka perlu lakukan. Setiap musim kami melepasi keperluan peraturan itu yang turut ada untuk semua orang. Jika kami salah, buktikan.”