Josep ‘Pep’ Guardiola memuji aksi dan kekuatan mental anak buahnya yang merekodkan kemenangan kedua 3-0 dalam masa lima hari ketika bertemu Arsenal.
Kemenangan di Stadium Emirates itu dibantu dengan tiga jaringan pada babak pertama menerusi Bernardo Silva, David Silva dan Leroy Sane.
Mata penuh yang dikutip itu juga menjadikan jurang mata diantara Manchester City dan pesaing utama, Manchester United kini adalah sebanyak 16 mata.
Skuad bimbingan Guardiola itu hanya memerlukan lima kemenangan daripada baki 10 perlawanan untuk dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris.
Pengurus dari Sepanyol itu juga menyifatkan keputusan perlawanan pagi tadi adalah ‘keputusan yang menakjubkan’.
”Secara mentalnya kami cukup kuat. Kami sangat ‘klinikal’ dan menjaringkan tiga gol yang cemerlang,” ujar Guardiola kepada BBC Sport.
”Selepas itu ianya tidak mudah buat kami. 15 minit pertama di separuh masa kedua, kami sangat teruk. Namun, masih keputusan yang menakjubkan buat kami.”
”Kami telah tersingkir dari saingan Piala FA dan telah menjuarai Piala Liga (Piala Carabao). Sekarang hanya tinggal dua sahaja pertandingan lagi dan anda berjuang untuk satu daripadanya selama 10 bulan.”
”Ini adalah langkah terakhir untuk bergelar juara. Anda perlu untuk teruskan hingga ke penghujung saingan. Kami perlu untuk memenangi lima perlawanan lagi. Kami tidak terlalu memikirkannya. Sekarang kami akan menentang Chelsea.”
”Diharapkan kami mempunyai keinginan untuk mencatatkan kemenangan, menjadi pasukan terbaik di England. Kami perlu melupakan yang kami dalam keletihan.”