Pengurus Manchester City, Pep Guardiola yakin bahawa pemain muda, Phil Foden sudah bersedia untuk berada dalam skuad utama pasukan pada musim ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas pemain berusia 18 tahun itu beraksi selama 76 minit pada perlawanan Perisai Komuniti menentang Chelsea semalam yang menyaksikan City menang dengan keputusan 2-0.
Foden turut berjaya mencipta bantuan terhadap jaringan pertama perlawanan yang dihasilkan oleh Sergio Aguero.
Pada aksi di Wembley tersebut, Phil Foden kelihatan begitu selesa dengan permainannya di atas padang.
”Ya, dia (Phil Foden) telah pun bersedia dari musim lalu. Sekarang dia setahun lebih matang,” jelas Guardiola bercakap kepada BT Sport.
”Dia berlatih sepanjang musim bersama kami. Dia turut berjuang bersama semua pemain kami, jadi itu sangat baik untuk mempunyai seorang pemain dengan bakat seperti ini.”
”Dia merupakan peminat Manchester City, seorang ‘Mancunian’, jadi sebab itulah pada kami ia sangat baik.”
Pada musim lalu, Foden telah diberikan peluang oleh Pep Guardiola bagi beraksi dalam beberapa perlawanan Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, Liga Perdana Inggeris dan Piala Carabao.
Foden yang beraksi buat skuad kebangsaan England bagi peringkat umur dilihat sebagai salah seorang bakat baru yang bakal memberikan impak dalam kancah bola sepak dunia satu hari nanti.