Pengendali Manchester City, Pep Guardiola memberi amaran kepada anak buahnya yang mereka berisiko untuk tercicir daripada pemburuan Liga Perdana Inggeris (EPL) jika gagal menewaskan Liverpool di Stadium Etihad, Jumaat ini.
The Cityzens berjaya bangkit dari kekecewaan tewas dua kali berturut-turut keatas Crystal Palace dan Leicester City sebelum pasukan itu kembali memperolehi kemenangan dengan menewaskan Southampton 3-1 semalam.
Kemenangan tersebut sekaligus merapatkan jurang dengan pendahulu liga – Liverpool dalam usaha City untuk mengekalkan trofi kejuaraan musim ini.
Persaingan akan berakhir
Man. City kini menduduki tempat kedua ketinggalan tujuh mata di belakang Liverpool yang mengumpul 54 mata.
Guardiola menegaskan bahawa perlawanan bertemu Liverpool selepas ini adalah sebagai perlawanan penentu pasukan itu untuk meraih gelaran liga musim ini.
Beliau akui yang Liverpool kini sedang berada dalam prestasi terbaik dan sukar bagi pasukan itu untuk tercicir mata penting.
Persaingan liga mungkin akan berakhir jika pasukannya mengalami kekalahan bertemu Liverpool selepas ini.
“Kami sedar dengan kedudukan Liverpool, jika melepaskan mata, ia akan berakhir (persaingan merebut kejuaraan),” kata Guardiola.
“Ia akan menjadi hampir mustahil. Mereka akan melepaskan mata namun agak mustahil.”
“Ini adalah cabaran kepada kami pada Jumaat nanti, cuba menang dan mengekalkan posisi sebaik mungkin untuk bersaing merebut kejuaraan di penghujung musim nanti.”
Masih percaya pemain
Guardiola bagaimanapun menolak andaian dari sesetengah pihak yang mendakwa beliau sudah hilang keyakinan keatas para pemain selepas pasukan itu dikejutkan Crystal Palace dan Leicester City minggu lalu.
“Bagaimana saya boleh meragui mereka (pemain)?” jawabnya apabila ditanya mengenai hal tersebut.
“Bola sepak memang begitu. Kami mencipta peluang untuk mendahului 2-0 atau 3-0, kami melepaskan satu gol.”
“Menentang Crystal Palace dan Leicester, mereka gembira dengan keputusan 1-1 dan mereka mendapat satu lagi jaringan. Saya sentiasa menilai usaha kami dalam perlawanan dan sikap mahu mencuba.”
Tambah pengendali dari Sepanyol itu, beliau sebagai berkata, nasib tidak menyebelahi pasukannya ketika ini apabila tewas dua perlawanan dan seterusnya mereka bakal bertemu Liverpool.
“Kami menang banyak perlawanan namun malangnya tewas dua kali dan mempunyai pesaing (Liverpool) yang kini adalah pasukan terbaik di Eropah atau dunia.”