Kemenangan 2-1 yang dirakamkan Liverpool ke atas Tottenham Hotspurs dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) baru-baru ini bukanlah atas faktor nasib semata-mata.
Sebaliknya, pengurus Manchester City, Pep Guardiola menyifatkan kejayaan itu hadir menerusi usaha keras dan komitmen tinggi dipamerkan pemain Liverpool untuk memburu kemenangan di laman sendiri.
“Satu kali mungkin nasib, atau dua kali mungkin nasib, tetapi jika ia berlaku tiga atau empat atau lima kali maka itu kerana mereka mempunyai sesuatu yang istimewa.”
“Saya tidak akan menghabiskan masa berfikir, ‘Mereka bernasib baik di sini, di sana, di mana-mana’. Itu tidak memberi saya mata tambahan,” kata Guardiola.
Saingan hebat
Dalam perlawanan tersebut, Liverpool yang terlebih dahulu mendahului perlawanan menerusi gol Roberto Firmino kembali tertekan di babak kedua apabila Spurs berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Lucas Moura.
Spurs yang mengubah strategi pasukan telah berjaya mendominasi permainan secara keseluruh di babak kedua dan berjaya melancarkan beberapa serangan berbahaya ke kubu tuan rumah.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Spurs apabila pemain pertahanan, Toby Alderweireld menjaringkan gol sendiri ekoran kesilapan yang dilakukan penjaga gol, Hugo Lloris.
Guardiola yang turut menyaksikan perlawanan tersebut mengakui dirinya tidak dapat mengelak daripada mengeluarkan kata-kata kesat selepas Liverpool melakar kemenangan ke atas Tottenham Hotspur pada lewat permainan.
Beliau begitu sedikit kesal dengan jaringan minit akhir Liverpool dan menganggap ianya sebagai bukti bahawa persaingan memburu gelaran liga musim ini tidak semudah yang diinginkan.
“Sewaktu saya melihat mereka, saya berkata ‘ah s…’. Tetapi selepas lima atau 10 minit, ia kembali tenang. Tiada sesiapa berkata, pertarungan ini mudah. Kami sedar tentang itu, saya juga menyedarinya. Ia satu persaingan yang bagus.”
“Selepas seketika, anda berkata ia sesuatu yang mengagumkan, beginilah cara kami meneruskan kehidupan. Semua orang berasa teruja dengan apa yang bakal berlaku kepada kami minggu depan,” kata Guardiola.