Rekod tanpa kalah Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris akhirnya lebur apabila pasukan Liverpool menewaskan pendahulu liga itu dengan jaringan 4-3 di Stadium Anfield malam tadi.
Alex Oxlade-Chamberlain membuka tirai jaringan buat skuad The Reds seawal minit kesembilan namun jaringan pendahuluan itu berjaya dipadamkan City yang meraih gol menerusi Leroy Sane minit ke-40.
Bagaimanapun, tiga gol dalam tempoh sembilan minit yang diraih Liverpool selepas babak kedua bersambung mencalarkan rekod cemerlang City yang dibimbing oleh Pep Guardiola.
Walaubagaimanapun, Pep Guardiola akur dengan kekalahan itu dan menegaskan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris masih belum berakhir.
“Tahniah Liverpool atas kemenangan,” ujar Pep. “Kami tidak bermula dengan cara yang kami inginkan tapi kami melawan semula, berjaya menyamakan kedudukan dan lebih baik pada permulaan babak kedua.
“Perlawanan masih dalam kawalan kami pada saat itu untuk 15 hingga 20 minit selepas rehat, tapi selepas kami terbolos gol kedua kami perlu lebih stabil pada saat tersebut, kami tidak cukup kental.
“Kami perlu belajar darinya, tapi kami terus berjuang dan menjaringkan dua lagi gol.
“Realitinya kami telah tewas dalam perlawanan dan anda perlu menerimanya dengan situasi-situasi sebegini dalam mana-mana tempoh sepanjang musim dan kami akan cuba menjadikan perasaan ini (kecewa) sependek mungkin yang boleh.
“Ia amat sukar bermain di Anfield dan Liverpool bermain secara agresif, bola sepak menyerang dengan para penyokong di belakang mereka, dan meskipun kami menangani serangan balas agak bagus, selepas gol kedua , rampasan bola lemah.
“Musim Liga Perdana Inggeris itu panjang, dan kami hanya perlu fikirkan perlawanan seterusnya.
“Masih banyak perlawanan untuk dimainkan dan masih banyak perlawanan sukar menanti di hadapan. Kami harus fokus dan sudah tentu kami akan pertahankan posisi kami.
“Kini kami mempunya masa seminggu untuk pulih dan fokus kami kini hanya untuk perlawanan akan datang menentang Newcastle.” kata Pep Guardiola.
Sementara itu, pengurus Liverpool, Jurgens Klopp memuji persembahan anak buahnya yang berusaha menjaringkan gol dan menyifatkan kemenangan itu merupakan petanda yang baik dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
“Ini satu perlawanan bersejarah yang akan anda perkatakan dalam tempoh 20 tahun kerana kelihatannya City tidak akan kalah tahun ini,” katanya.
“Berjuta-juta menonton perlawanan ini di seluruh dunia dan itulah sebabnya anda turun sepenuh hati meluahkannya di padang dan bermain sebegini, kedua-dua pasukan.
“Kami bermain, saya tidak tahu tahap mana, mencetus masalah besar terhadap mereka. Saya tidak bimbang akhirnya, bukannya saya tidak memikirkan kami akan melepaskan gol keempat, saya sudah kenal pemain saya terlalu lama, ia terlalu tegang.”
Selepas perlawanan itu, Manchester City masih di puncak liga dengan jarak 15 mata sebelum Man United bertemu Stoke esok dan dengan 67 gol (17 bolos), 50 perbezaan gol selepas tewas tipis 3-4 kepada Liverpool di Anfield manakala Liverpool naik ke tangga ketiga dengan 47 mata.