Kekalahan Manchester City di St James’ Park ternyata memberikan peluang yang cukup luas buat Liverpool bagi mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Perdana Inggeris.
Skuad bimbingan Jurgen Klopp itu bakal berdepan Leicester City pada aksi di Anfield, awal pagi esok.
Bagi pengendali Manchester City, Pep Guardiola, beliau melihat kekalahan yang dialami anak buahnya membuatkan The Cityzens semakin sukar untuk menghalang Liverpool dari meraih kejuaraan liga musim ini.
”Ia sukar. Kami mempunyai banyak peluang untuk dilakukan tetapi kami perlu memenangi perlawanan.”
”Kami tidak mempunyai kelebihan tetapi kami perlu untuk meneruskannya. Kami harus melakukannya pada perlawanan kami dan mengetahui apa yang perlu dilakukan.”
”Anda boleh tewas. Bola sepak ini kompetitif.”
Pada aksi bertemu Newcastle United awal pagi tadi, Sergio Aguero pantas memberikan gol pendahuluan buat Manchester City apabila mencipta jaringan seawal minit pertama.
Salomon Rondon kemudiannya berjaya nengikat kedudukan menerusi jaringan pada minit ke-66 sebelum Matt Richie muncul wira buat The Magpies dengan menyempurnakan sepakan penalti untuk ‘menghadiahkan’ kekalahan keempat buat Manchester City musim ini.