Quantcast

BERITA

Penyokong ‘Yob’ Kecewa Lagi, Giliran Brendan Gan Pula Ucap Selamat Tinggal Buat Perak

Selepas kehilangan pemain paling setia sejak musim 2010, Mohamad Nasir Basharudin dan pemain sayap lincah, Mohd Nor Hakim Hassan, penyokong Perak terus dirundung kekecewaan apabila giliran Brendan Gan pula mengucapkan selamat tinggal buat skuad ‘Yob’ itu.

Keputusan yang diambil pemain tengah skuad kebangsaan itu nyata menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Perak tatkala Brendan Gan telah mempamerkan aksi terpuji sepanjang menyarung jersi ‘kuning hitam’ sejak dua musim ini.

Kegigihannya bangkit daripada dua kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dilihat bakal mengancam karier bola sepak beliau, dibalas dengan kejayaan membantu Perak menjuarai Piala Malaysia 2018 sekaligus menjadikan Brendan sebagai pemain terbaik perlawanan tersebut.

Lebih manis, Brendan turut menjaringkan gol penyamaan pada minit akhir perlawanan bertemu Terengganu FC itu bagi mengheret aksi ke masa tambahan. Itu antara detik yang tidak akan dapat dilupakan peminat bola sepak Perak khususnya.

”Musim 2019 yang sudah menutup tirainya, ini adalah masa untuk diluangkan bersama keluarga dan rakan-rakan.”

”Ini juga masa di mana saya boleh mengumumkan bahawa dengan sedihnya saya akan meninggalkan Perak selepas dua tahun yang menakjubkan di Ipoh, di mana saya dan pihak pengurusan tidak dapat mencapai persetujuan [untuk terus bersama].”

”Saya sentiasa memberikan segalanya untuk Perak setiap kali melangkah ke padang tetapi kadangkala dalam bola sepak ianya masih tidak cukup.

”Saya sangat dihargai pada setiap detik pada dua tahun dihabiskan di Ipoh dan terlalu banyak memori hebat yang akan kekal terpahat di minda saya sepanjang hidup ini,” ujar Brendan ketika mengumumkan keputusan tersebut di akaun media sosial beliau.

Dengan perkembangan semasa ini, angin spekulasi pemergian Brendan Gan ke sebuah pasukan di Lembah Klang dilihat semakin bertiup kencang.

Sama-sama kita nantikan jersi pasukan manakah yang akan disarung Brendan Gan!

Kredit foto: Perak TBG