Seorang penyokong Tottenham Hotspur telah ditahan oleh pihak berkuasa selepas tindakan beliau membaling kulit pisang ke arah padang – disasarkan kepada Pierre-Emerick Aubameyang sebaik sahaja pemain itu menjaringkan gol untuk Arsenal.
Jurucakap Spurs mengesahkan penyokong tersebut akan dilarang masuk ke stadium untuk perlawanan-perlawanan membabitkan pasukan itu pada masa akan datang.
Pisang adalah simbolik kepada kebencian perkauman melibatkan pemain atau individu berkulit hitam.
Terima padah
Menurut The Guardian, ia masih tidak cukup untuk menghalang badan induk bola sepak England, The FA daripada melakukan siasatan – sekaligus menjadikan Spurs berisiko berhadapan pendakwaan dan hukuman denda.
Arsenal turut tidak terlepas dari siasatan The FA sekiranya badan induk bola sepak England itu memilih untuk berbuat demikian.
Perlawanan panas derbi utara London itu juga turut merekodkan enam tangkapan lain di kalangan penyokong – termasuk dua penyokong Arsenal yang menyalakan bom asap ketika perlawanan berlangsung.
“Sikap sebegini jelas tidak boleh diterima, dan penyokong yang melakukan tindakan tersebut akan di gantung,” ujar kenyataan dari jurucakap Tottenham mengenai penyokong yang membaling kulit pisang tersebut.
Turut libatkan pemain
Selain daripada insiden melibatkan penyokong, pemain-pemain kedua-dua pasukan juga terlibat di dalam pergeseran di dalam padang selepas jaringan penyamaan Eric Dier pada babak pertama perlawanan.
Ia berikutan tindakan Dier meraikan gol yang tidak disenangi oleh pemain Arsenal, Stephan Lichtsteiner sebelum tolak menolak berlaku di antara dua pemain kelab tersebut.
Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino turut dilihat cuba campur tangan untuk menenangkan keadaan dan Dier yang dilayangkan kad kuning kerana perbuatan tersebut kemudiannya berkata beliau tidak menyedari apa yang berlaku dari kem Arsenal.
“Saya membelakangkan mereka pada ketika itu. Jadi saya tidak pasti apa yang berlaku. Tetapi ini adalah bola sepak, dan ini merupakan perlawanan derbi.
“Kerana itu saya tidak faham mengapa saya menerima kad kuning. Ia mengecewakan saya kerana hakikatnya bola sepak itu tidak bererti jika anda mengambil aspek emosi daripadanya.”