Pada Ahad lalu, seramai 6,000 orang penyokong bertuah Tottenham Hotspur telah dijemput untuk meninjau keadaan stadium baharu mereka – Stadium Tottenham Hotspur.
Ianya adalah sebahagian daripada usaha Spurs untuk membolehkan penyokong mereka menyesuaikan diri dengan keadaan stadium baharu itu.
Berdasarkan perkongsian seorang pemegang pas bermusim – Jon Cooper – kepada The Guardian beliau menyatakan stadium itu secara asasnya sudah siap sepenuhnya. Tottenham Hotspur menjangkakan stadium itu akan dibuka secara rasmi pada Februari 2019.
Spurs menyatakan sebelum ini, mereka hanya menunggu lesen keselamatan stadium daripada pihak berkuasa untuk membuka stadium tersebut secara rasmi.
Cooper dengan beribu lagi penyokong Spurs yang hadir dalam sesi menyesuaikan diri dengan stadium baharu itu merasa sangat teruja. Ada yang sudah melihat di mana tempat duduk mereka nanti.
Jon Cooper berkata: “Saya boleh katakan aspek akustik dan pencahayaan sangat luar biasa, kerana itu adalah perkara yang kita kurang pada atmosfera stadium lama.”
The new Tottenham Hotspur stadium 😍 #COYS #THFC pic.twitter.com/9wjY4iN6qX
— The Spurs Web (@thespursweb) December 16, 2018
“Melihat keadaan dari dalam, saya rasa ianya sudah bersedia. Padangnya segar dan bersih, tiang gol sudah dipasang, tempat duduk sudah bersedia, cuma ada beberapa ‘scaffolding’ di tempat duduk sebelah utara. Di luar stadium ada beberapa kren lagi, namun secara asasnya segala kerja sudah selesai.”
Beliau kagum dengan pengurusan Spurs yang bersungguh-sungguh dalam pembinaan stadium baharu ini. Jon meminta semua penyokong Spurs bersabar dengan masalah kelewatan pembukaan stadium ini.
Jon juga memberitahu mereka segalanya sedang berjalan lancar sepertimana yang dinyatakan oleh pihak pengurusan sebelum ini.
“Mereka menunjukkan kita apa yang mereka mahukan. Kami cuba berjalan ke tempat duduk utara, untuk melihat tempat duduk kami, namun tidak dibenarkan. Kami akan sabar menunggu harinya nanti. Apabila segalanya siap, kita semua akan melupakan masalah kelewatan ini,” tambah beliau lagi.
“Katering juga menarik termasuk ada masakan Cina, pizza, ‘fish and chips’, pai, burger dan sebagainya. Semua transaksi pembayaran adalah menggunakan sistem ‘touch payment’ tanpa menggunakan wang tunai.”
“Cuma satu sahaja saya kurang berpuas hati iaitu tempak duduknya yang tak empuk. Saya tahu di Arsenal, tempat duduk mereka agak empuk dan kemudiannya warna merah menjadi merah jambu, tetapi saya berpendapat ianya masih boleh tahan.”