Penyokong Setia VS Bangsa Final, Siapakah Yang Lebih Berhak?

Ketika kami sedang mengemaskini artikel ini, dianggarkan 6,000 penyokong Harimau Malaya berkampung di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil sejak dari petang semalam, untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018.

Ikutan coretan salah seorang pembaca kami, saudara Hadri Halim yang telah berkongsi pandangan beliau mengenai apa yang berlaku setiap kali menjelang perlawanan akhir pertandingan bola sepak di negara ini.

Senario perlawanan besar

Setiap kali menjelang perlawanan peringkat separuh akhir dan perlawanan akhir bola sepak di Malaysia, pasti akan timbul perbalahan di kalangan dua golongan penyokong. Apatah lagi perlawanan akhir yang membabitkan pasukan negara – kerana kelompok penyokong yang lebih meluas meliputi seluruh negara.

Golongan pertama bolehlah kita gelarkan mereka sebagai ‘penyokong setia datang setiap game’ (PSDSG), dan satu lagi golongan yang sering kali kita gelarkan sebagai ‘bangsa final’.

(Photo by Stanley Chou/Getty Images)

PSDSG biasanya akan cuba untuk hadir di setiap perlawanan, waima di awaydays sekalipun. Manakala bangsa final hanya akan muncul di perlawanan-perlawanan besar seperti perlawanan akhir.

Kedua-duanya sering bertelingkah atau bertekak – terutamanya di media sosial – mengatakan masing-masing berhak untuk mendapatkan tiket perlawanan. Siapakah sebenarnya yang lebih berhak?

Malaysia perlukan ‘Penyokong Setia & Bangsa Final’

Apa pun gelaran, realitinya dua golongan penyokong ini masih merupakan penyokong pasukan negara – dan pasukan negara memerlukan sokongan dari kedua-dua golongan penyokong ini.

Pada perlawanan menentang Laos, permainan pasukan Malaysia agak kurang meyakinkan. Pada ketika itu, kehadiran penyokong ke stadium dianggarkan lebih kurang 12,000 orang di Stadium Nasional Bukit Jalil.

(Photo by Stanley Chou/Getty Images)

Saya rasa boleh lah kita katakan sebahagian besar dari 12,000 penyokong yang hadir itu adalah dari golongan PSDSG.

Aksi pasukan negara kemudiannya mulai menunjukkan peningkatan ketara pada perlawanan menentang Myanmar -setelah sebelum itu tewas 0-2 kepada Vietnam di Hanoi.

(Photo credit should read KAMARUL AKHIR/AFP/Getty Images)

 

Perlawanan menentang Myanmar merekodkan kedatangan full house, dengan kehadiran lebih 80,000 dalam perlawanan wajib menang bagi pasukan negara.

Bukanlah saya mengatakan sokongan PSDSG tidak membantu pasukan Malaysia, tetapi gabungan sokongan ‘PSDSG’ dan ‘bangsa final’ ini membolehkan pasukan Malaysia memberikan persembahan yang terbaik. Situasi ini berterusan ke perlawanan separuh akhir pertama ketika menentang Thailand.

FAM perlu wujudkan sistem keutamaan

Menjelang aksi perlawanan akhir pertama di antara Malaysia dan Vietnam, tiket perlawanan dijual bagaikan pisang goreng panas. 30,000 tiket dijual sekelip mata di hari pertama penjualan secara atas talian, dan 10,000 lagi tiket pada hari berikutnya.

40,000 keping tiket fizikal pula akan mulai dijual pada hari ini di beberapa lokasi di sekitar ibu negara – dan saya yakin tiket-tiket ini juga akan habis dengan cepat penjualannya. Pasti ada yang akan merungut kekecewaan kerana gagal mendapatkan tiket perlawanan.

Untuk penjualan tiket yang adil bagi penyokong, penyelesaian terbaik kepada masalah ini adalah dengan mewujudkan sistem keutamaan.

Cadangan ini bukan perkara baru yang saya tiba-tiba ilhamkan. Ia sudah pun lama difikirkan orang lain. Saya hanya mahu menyampaikan di sini.

Apa FAM boleh lakukan?

Walau golongan mana pun anda sebagai seorang penyokong, perkara pertama yang harus diakui ialah golongan PSDSG sebenarnya lebih berhak untuk mendapatkan tiket perlawanan.

Jadinya, setiap kali perlawanan tumpuan seperti di peringkat separuh akhir dan perlawanan akhir, penjualan tiket secara atas talian dan juga secara fizikal dicadangkan diadakan penjualan slot awal – khas untuk golongan PSDSG dengan kuota khas.

Untuk pemudah cara, pembelian menggunakan nombor kad pengenalan sebagai rujukan boleh dilakukan. Ini bagi memberi laluan kepada mereka yang hadir menyaksikan perlawana sejak dari peringkat awal diberikan keutamaan – sebelum baki tiket dijual secara terbuka kepada penyokong-penyokong lain yang berminat.

Atau mungkin sudah tiba masanya FAM melancarkan kelab penyokong rasmi pasukan Harimau Malaya dengan kad identiti. Langkah ini bukan sahaja boleh memudahkan FAM memberi keutamaan kepada penyokong setia – malah boleh digunakan oleh FAM untuk reward penyokong secara terus melalui pelbagai cara seperti pemberian diskaun untuk merchandise dan sebagainya.

Jika pasukan seperti Selangor boleh melancarkan kad ‘Team Card’ mereka baru-baru ini, maka idea sebegini juga dilihat praktikal untuk FAM lakukan. Ia sekaligus boleh menjenamakan skuad Harimau Malaya, dan menjadi salah satu langkah untuk mempromosi pasukan negara, selain daripada menumpukan prestasi pasukan melalui aksi di atas padang.

Bukankah ianya lebih menarik jika perkembangan di dalam dan luar padang boleh berjalan seiringan?

Penutup

Bagi yang berjaya mendapatkan tiket perlawanan akhir pertama di antara Malaysia dan Vietnam pada hari ini, tahniah diucapkan. Bagi yang gagal, usah kecewa. Anda masih boleh meyaksikan perlawanan tersebut dari kaca televisyen bersama jutaan penyokong Harimau Malaya yang lain.

Anda golongan penyokong setia datang setiap game atau pun bangsa final, satu perkara yang pasti ialah – pasukan Harimau Malaya memerlukan sokongan rakyat Malaysia.

 

Nota editor: Artikel ini adalah coretan Hadri Halim di laman Twitter, dan disunting oleh Semuanya BOLA sebelum diterbitkan dengan kebenaran.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN