Penyokong Selangor Setuju Kes Aniaya Faisal Halim Dibawa Ke Mahkamah

Penyokong bola sepak Selangor tampaknya bersetuju dengan keputusan terbaharu untuk membawa kes penganiayaan kepada Faisal Halim dibawa ke mahkamah demi mendapat pembelaan sepatutnya.

Menerusi laporan terdahulu, Najwan Halimi selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri menyatakan pihak Selangor telah melantik peguam bagi memantau kes berkenaan.

“Tindakan susulan berkaitan dengan kes terbabit, kita memang serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Tetapi, pada masa sama kita tidak tolak keperluan untuk pihak peguam dan pengurusan Selangor FC mengambil tindakan sewajarnya di peringkat lebih tinggi, sekiranya tidak ada apa-apa keputusan daripada siasatan dan hasil siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa,” ujar beliau menerusi perkongsian dibuat Astro Awani.

Menyokong usaha tersebut, Mohd Faizal Wahid selaku Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), berkata keputusan dibuat pasukan itu tepat kerana masih tiada perkembangan semasa dilaporkan bagi membela nasib pemain Harimau Malaya itu.

Menerusi tempoh enam bulan penantian mengenai keputusan kes tersebut, masih tiada sebarang perkembangan dilaporkan dan ia dianggap tidak adil kepada Faisal yang memerlukan pembelaan sepatutnya.

“Ini satu pembelaan buat Faisal. Sudah terlalu lama dan tindakan Kerajaan Negeri Selangor untuk membawa perkara ini dengan guna saluran undang-undang cukup baik.

“Kita sebagai penyokong memberi sokongan sepenuhnya agar pesalah dapat di heret ke mahkamah dan diberi hukuman setimpal.

“Kalau boleh bukan setakat pelaku yang simbah asid, malah heret juga perancang di belakang yang menjadi punca kepada masalah ini.

“Perkara ini perlu diperjelaskan oleh pihak berkuasa. Kita tidak mahu ada pemain lain pula menjadi mangsa selepas ini. Pelaku dan perancang perlu diheret, di mana undang-undang negara harus dihormati semua pihak tidak kira pangkat, darjat mahupun keturunan,” kata Faizal menerusi laporan daripada Harian Metro.

Tanggal 5 Mei lalu, dunia bola sepak Malaysia digemparkan dengan siri serangan dilakukan oleh dua penjenayah kepada Faisal menerusi simbahan asid sehingga menyebabkan kecederaan parah dialami pemain bola sepak kelahiran Pulau Pinang itu.

Kesan simbahan itu menyaksikan Faisal terpaksa mengharungi beberapa pembedahan serta pemulihan sehingga ia merencatkan perjalanan karier pemain tersebut yang sedang berada pada tahap kemuncak.

Ketika ini, Faisal secara perlahan-lahan kembali bangkit dan sudah pun diberi beberapa peluang untuk beraksi oleh Selangor demi memulihkan keyakinan serta momentum positif pemain tersebut.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN