Kemenangan Pahang ke atas Kedah disambut dengan berita sedih apabila salah seorang penyokong skuad Tok Gajah meninggal dunia ketika menyaksikan perlawanan tersebut di Stadium Darul Makmur kelmarin.
Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata kepada Utusan Malaysia, lelaki berkenaan ialah Azmi Bin Mat berusia 64 tahun, dan bekerja di Pejabat Hutan di sini.
“Kira-kira 10 malam tadi, polis menerima maklumat seorang lelaki pengsan ketika sedang menyaksikan perlawanan bola sepak antara Pahang dan Kedah di Stadium Darul Makmur.
“Sejurus selepas itu, lelaki berkenaan terus dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Difahamkan beliau rebah di tangga tingkat 1 Stadium Darul Makmur ketika perlawanan sedang berlangsung.
Mohamad Noor berkata, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11.08 malam dan pemeriksaan mendapati kematian lelaki itu tidak membabitkan unsur jenayah.
“Siasatan awal dengan salah seorang saudara mangsa mendapati mangsa mempunyai rekod rawatan jantung,” katanya.
Insiden itu turut menarik perhatian pihak Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang sempat melawat keluarga arwah semalam.
Wakil daripada pihak PBNP menyampaikan sedikit sumbangan bagi pihak YAM Tuanku Presiden dan juga pasukan Pahang sendiri.
Pihak pengurusan Pahang FA juga merakam ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan beliau.