Malaysian Football League (MFL) telah mengeluarkan kenyataan balas atas persoalan yang ditimbulkan oleh penyokong Pahang atas penundaan perlawanan Sabah menentang Pahang.
Kesimpulan yang diperoleh daripada kenyataan balas tersebut adalah MFL terpaksa akur dengan arahan dan juga keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri Sabah.
Penyokong Pahang melalui Elephant Army (Ultras Pahang) sebelum itu telah memohon penjelasan lanjut MFL menerusi posting mereka di Facebook rasmi Elephant Army.
Anda boleh baca menerusi berita ini.
Namun, apakah tindakan MFL ataupun Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) untuk penyokong-penyokong Pahang yang telah sampai ke Sabah untuk menyaksikan perlawanan tersebut?
Pastinya, untuk menyaksikan perlawanan bola sepak di sana akan melibatkan kos yang agak besar kerana banyak hitung kira yang perlu buat untuk melintasi Laut China Selatan.
Ya, mereka mungkin juga tidak boleh dipertanggungjawabkan kerana perkara ini berlaku atas arahan Kerajaan Negeri Sabah, tetapi apakah ‘tanggungjawab moral’ mereka atas isu ini?
Semuanya BOLA telah berpeluang menghubungi wakil kepada Elephant Army, Muhammad Saifullah Suhaimi yang telah berada di Sabah untuk menyaksikan perlawanan tersebut.
“Jujurnya saya kecewa. Niat ke Sabah untuk tengok bola, cari dan simpan duit untuk jadi pemain ke-12. Ibarat duit terbang macam tu sahaja,” ujarnya yang telah sampai ke Sabah pada Sabtu.
“Kami rancang lepas tahu Pahang satu kumpulan dengan Sabah. Jadi ramai sudah mula menabung, ada buat kerja lebih masa, ada yang jual barang kesayangan dan juga kerja sambilan.
“Lepas tahu tarikh, semak semula kos. Bila tahu kos lebih RM400, ramai yang terpaksa tarik diri,” ujar Saifullah sambil menyatakan ketika ini terdapat 25 penyokong telah berada di sana.
Menurutnya lagi, 20 orang termasuk dirinya akan terpaksa pulang awal pagi esok (5.00 pagi tadi) akibat makluman lewat oleh pihak MFL berhubung penundaan perlawanan tersebut.
Penyokong sebegini sukar untuk ditemui di kalangan penyokong-penyokong bola sepak di Malaysia. Mereka sanggup berhabis wang ringgit untuk mengikuti pasukan kesayangan mereka.
Tampak seakan-akan penyokong seperti mereka ini telah ditindas dan kenyataan balas pihak MFL pula dilihat seakan-akan cuba melepaskan diri dengan ‘menyalahkan’ pihak lain.
“Dia yang luluskan, boleh saja dia tidak luluskan. Kalau macam itu, bolehlah setiap Kerajaan Negeri lepas ini, hantar surat permohonan lewat (tunda), jika ada apa-apa majlis,” ujar Saifullah.
Apa yang cuba disampaikan olehnya adalah, apakah SOP yang dipegang oleh pihak MFL dan mengapa ada kaedah berbeza jika melibatkan permohonan oleh Kerajaan Negeri.
Jika diperhatikan dalam kenyataan balas tersebut ada dijelaskan mengenai SOP penundaan perlawanan iaitu setiap penundaan perlawanan mestilah dibuat 15 hari sebelum perlawanan.
Oleh yang demikian, adakah disebabkan campur tangan oleh Kerajaan Negeri Sabah itu telah menyebabkan MFL mengabaikan SOP yang telah mereka tetapkan sebelum ini?
Jikalau terpaksa menunda perlawanan, apa yang diinginkan oleh para penyokong adalah tindakan atau makluman pantas agar ia tidak merugikan mana-mana pihak terutama penyokong.
“Mula-mula kami dapat info melalui pengurusan Pahang dalam jam 9.30 pagi, namun belum ada pengesahan rasmi mengenai perkara itu dari mana-mana pihak ataupun MFL sendiri.
“Namun, hati kuat mengatakan perlawanan akan diteruskan,” jelasnya lagi sebelum akhirnya kenyataan rasmi dikeluarkan di Facebook MFL pada lewat petang semalam.
“Susun jadual biar cantik. Kali ini nampak terlalu tak sekata, huru hara bagi saya,” pesan Saifullah kepada MFL mengenai isu ini yang jelas seperti ‘nasi sudah menjadi bubur’.
Diharapkan pihak berwajib seperti MFL, SAFA dan juga mungkin pihak pengurusan Pahang sendiri boleh mencari solusi dan inisiatif untuk membela nasib penyokong seperti ini.
Dan diharapkan juga, perkara ini tidak akan berulang kerana ini juga bukan kali pertama kekeliruan sebegini berlaku. Penyokong adalah tulang belakang, sebahagian daripada pasukan.