Jika tidak kerana Takumi Minamino menjaringkan dua gol ketika Liverpool menewaskan Norwich City dalam perlawanan Piala EFL pada awal pagi tadi, mungkin ada yang sudah terlupa nama penyerang Jepun tersebut dalam pentas bola sepak Inggeris.
Ia merupakan perlawanan pertama buat Minamino pada musim ini. Sejak tiba dari Red Bull Salzburg pada Januari tahun lalu, penyerang berusia 26 tahun itu gagal mencipta impak seperti yang diharapkan.
Selepas beraksi 32 perlawanan untuk The Reds, beliau hanya menjaringkan enam gol. Ia bukanlah statistik yang baik untuk seorang penyerang. Malah beliau telah dipinjamkan ke Southampton pada separuh kedua musim lalu.
Minamino is off the mark! ✔️ 🇯🇵
Takumi Minamino bags two goals in Liverpool's 3-0 win against Norwich in the EFL Cup Third Round! pic.twitter.com/exp2f8RkVg
— #AsianCup2023 (@afcasiancup) September 21, 2021
Minamino seakan-akan bergelut untuk mendapatkan posisi terbaiknya di Liverpool. Beliau telah beberapa kali diberikan peranan yang berbeza seperti diletakkan di bahagian sayap, penyerang nombor 9 jadian, nombor 10 dan nombor 8, namun semuanya serba tidak kena.
Ketibaan Diogo Jota juga jelas membantutkan perkembangannya dan peluang untuk beraksi lebih kerap semakin tipis. Apatah lagi Divock Origi juga terus kekal bersama Liverpool selepas tidak mendapat tawaran dari mana-mana pasukan.
Meskipun begitu, aksinya sepanjang 90 minit pada awal pagi tadi mungkin memberi sedikit harapan selepas pengurus Jurgen Klopp sendiri memuji jiwa dan perwatakan besar yang ditunjukkan olehnya walaupun mengalami kecederaan ringan sebelum ini.
“Pemain perlukan masa untuk kembali ke prestasi terbaik selepas cedera, tetapi Taki [Minamino] benar-benar berada pada keadaan yang amat baik ketika ini,” ujar Klopp dalam sidang media selepas perlawanan.
“Dia berlatih dengan baik dan layak mendapatkan dua gol. Ketika menjaringkan gol pertama, dia menunjukkan kepekaan yang bagus, berfikir dengan cepat dan menyudahkan situasi itu.”
Takumi Minamino's game by numbers vs. Norwich:
85% pass accuracy
45 touches
3 long balls attempted
2 shots
2 interceptions
2 goals
1 tackleImpressive.💪 pic.twitter.com/JpDJ7n0SFK
— Squawka (@Squawka) September 21, 2021
“Dia amat bagus sepanjang pra-musim sebelum mengalami kecederaan dan kini dia boleh bermula sepanjang baki musim ini,” tambah Klopp.
“Untuk kembali, adakalanya tidak mudah tetapi dia amat jelas pemain dengan perwatakan besar dan dapat menikmati perlawanan malam ini dan ia amat penting buat dirinya dan amat penting juga buat kami.”
Liverpool turut membariskan pemain-pemain muda termasuk Kaide Gordon, Tyler Morton dan Conor Bradley yang membuat debut bersama skuad utama dan beraksi dengan baik sepanjang perlawanan.