Aksi Liverpool menentang Chelsea di Anfield pada Khamis ini pastinya menjadi detik yang amat ditunggu-tunggu penyokong setia kelab tersebut apabila The Reds akan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris buat pertama kali sejak saingan itu mula diperkenalkan pada 1992.
Aksi cemerlang ditampilkan skuad bimbingan Jurgen Klopp itu menyaksikan mereka telah dinobatkan selaku juara EPL musim ini ketika saingan liga masih berbaki tujuh perlawanan untuk ditamatkan susulan tewasnya pencabar terdekat, Manchester City 0-2 di tangan Chelsea.
Dalam keghairahan untuk menantikan detik bersejarah itu, Liverpool bersama-sama Polis Merseyside dan kelab penyokong Spirit of Shankly menasihati agar para penyokong untuk tidak melakukan keraian di Anfield tetapi sebaliknya hanya menikmati upacara penyerahan piala di kaca televisyen.
Nasihat itu cukup jelas untuk dihadam kerana sebarang perhimpunan adalah tidak dibenarkan dan ia juga menjadi ancaman serta kebimbangan akan wujudnya kluster baharu wabak COVID-19 sekiranya para penyokong Liverpool masih berdegil untuk turun ke Anfield.
1 – Liverpool have been crowned @premierleague champions for the very first time – 30 years after their last top-flight title back in 1989-90. Sufferance. pic.twitter.com/qh0yFwZg9s
— OptaJoe (@OptaJoe) June 25, 2020
”Ini adalah malam yang cukup penting buat semua penyokong Liverpool di bandar ini serta seluruh dunia, dengan trofi Liga Perdana Inggeris akan dijulang di dalam stadium.”
”Kelab dan stesen televisyen telah membuat persiapan dengan berhati-hati untuk memastikan jutaan orang akan menikmati detik istimewa ini di kaca televisyen, dalam keadaan selesa di rumah masing-masing.”
”Pada ketika ini, tempat duduk terbaik di rumah anda adalah di ruang tamu. Tidak ada manfaat untuk turun ke stadium dan kami sebagai sebuah bandar tidak boleh membenarkan orang ramai untuk berkumpul dalam jumlah yang ramai,” ujar Timbalan Ketua Polis Merseyside, Konstabel Natalie Perischine dalam kenyataan bersama menurut laporan Sky Sports.
Sebelum ini, Jurgen Klopp turut memberikan peringatan kepada para penyokong Liverpool supaya tidak meraikan kejayaan bermakna itu di tempat awam berikutan kira-kira 2000 peminat setia mereka berkumpul di Anfield sebaik sahaja kelab tersebut bergelar juara EPL.
“Saya juga manusia dan semangat anda juga semangat saya. Tetapi waktu sekarang adalah bukan waktu terbaik untuk melakukan acara keramaian di tempat awam,” ujar Klopp.
Kredit featured image: Shaun Botterill/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Liga Perdana Inggeris: