Tidak dapat dipastikan mengapa, data kehadiran penyokong Kedah Darul Aman ke Stadium Darul Aman dilihat semakin menurun setakat ini.
Adakah mereka sudah mula hilang keyakinan dan semangat untuk turun memberi sokongan terhadap pasukan? Tidak dinafikan pasukan lain turut mengalami pengurangan kehadiran ke stadium, tetapi untuk Kedah, ia dilihat menurun secara mendadak dan tiada kenaikkan semula lagi.
Untuk pasukan lain, ada surut, ada juga pasangnya. Untuk pasukan besar seperti Sang Kenari, sesuatu perlu dilihat semula oleh pihak pengurusan.
Kedah akan melayan kunjungan Kelantan di Darul Aman pada malam esok (Jumaat). Mungkinkah tren menurun akan berterusan atau sebaliknya?
Usaha pihak pengurusan untuk membuka jualan tiket di beberapa tempat merupakan sesuatu yang bagus untuk menarik penyokong dari segenap pelosok Kedah turun menyokong, tetapi saat ini, adakah ia berkesan?
Lima kaunter di luar kawasan stadium telah dibuka selepas 10 minggu aksi Liga Super 2023. Antara lokasi yang menjadi kaunter jualan tiket adalah House of Sang Kenari, Fantasia Fun Park, Kenari Serata Rata Sungai Petani, Kompleks Sukan KHTP Kulim dan Lerasta Resources Titi Gajah.
Selain itu, tiket juga dijual di perkarangan stadium pada hari perlawanan.
Mengapa kehadiran ke Darul Aman tetap tiada peningkatan ketika ini?
Jika hendak dikatakan berpunca daripada kedudukan pasukan, Kedah sedang menghuni tangga ke-5 liga, dibezakan tiga mata dengan pasukan seperti Selangor dan Sri Pahang di kedudukan ke-2 dan ke-3 liga. Ia bukanlah prestasi yang buruk untuk dikecewakan. Jadi, kenapa?
Mungkin atas sebab rasa kecewa dengan permainan pasukan saat ini?
Antara pemain yang menerima kritikan sebelum ini adalah Willian Lira.
Dulu Dilabel Jelmaan Bergson, Kini Penyokong Kedah Mahu Willian Lira Disingkirkanhttps://t.co/a4dZEJfXUU
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) March 9, 2023
Skuad Hijau Kuning dilihat kurang konsisten di pentas saingan musim ini waima sudah melantik pengendali terbaik Liga Malaysia 2022, Nafuzi Zain.
Tidak dinafikan, ruang masa perlu diberikan terhadap pengendali sepertinya yang diketahui mampu mengeluarkan yang terbaik bersama Terengganu.
Darul Aman merekodkan kehadiran tertinggi pada minggu ke-2 Liga Super ketika membenam Terengganu 1-0. Ia juga merupakan aksi pertama di sana untuk musim ini. Sebanyak 21,700 penyokong hadir ke Alor Setar.
Beberapa hari kemudian, Kedah melayan kunjungan PDRM dan penurun mula berlaku apabila hanya 12,792 penyokong turun, tetapi meraih kecewa menyaksikan pasukan mereka dikejutkan ‘The Cops’ dengan keputusan 0-1.
Ia terus menurun untuk aksi ketiga di sana di minggu ke-5 ketika mengatasi Kuching City 3-0. Kehadiran direkod hanyalah sebanyak 7622 penyokong.
Untuk dua perlawanan seterusnya di Darul Aman, hanya sebanyak 3230 penyokong turun ketika mereka mengatasi Penang 1-0 dalam Derbi Utara dan ia turun kepada 2590 penyokong saat tewas 2-3 kepada KL City.
📸 Para penyokong Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC di Stadium Darul Aman!#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/2vklP5xe7V
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 1, 2023
Dua aksi ini mungkin boleh diketepikan atas faktor ia berlangsung pada bulan Ramadan dan perlawanan berlangsung lewat, jam 10.00 malam.
Namun, jumlah kehadiran di venue lain dalam minggu yang sama iaitu ke-7 dan ke-9 itu dilihat ada yang merekodkan jumlah lebih besar berbanding Sang Kenari – sebuah pasukan yang penuh sejarah dan tradisi. Perak dan Selangor mampu menarik sehingga lebih 5000 sokongan ke stadium.
Adakah faktor perlawanan kurang menarik? Seharusnya Derbi Utara mampu menarik lebih ramai penyokong untuk turun, tetapi ia tetap tidak berlaku.
Adakah penyokong Kedah memboikot pasukan dan menjauhi stadium? Jika benar, ia satu langkah yang kurang bijak. Pasukan sedang dalam proses membina semula legasi yang hebat, mengapa harus ditinggalkan?
Ditambah pula dengan tewas 2-5 kepada Penang dalam aksi pemanas badan baru-baru ini, adakah ini bakal menambah bara yang tersimpan?
Diharapkan mereka akan kembali menghangatkan suasana stadium untuk aksi minggu ke-11 berdepan Kelantan nanti. Janganlah hanya menyokong di saat pasukan di kemuncak dan meninggalkannya pada ketika di bawah.
Data diperolehi daripada portal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).