Penyokong Kedah Mahu SPRM Siasat KFA Tentang Isu Jualan Tiket

Akhbar tempatan, Berita Harian melaporkan Persatuan Penyokong Lang Merah (LMFA) bercadang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kelemahan sistem penjualan tiket final Piala Malaysia antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Menurut laporan akhbar itu, Pengerusi LMFA, Wan Shazwan amat kecewa dengan kegagalan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menguruskan pembahagian tiket hingga mengakibatkan berlakunya beberapa insiden kekecohan di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Star, Kedah, hari ini.

“Selepas tiga tahun berturut-turut pasukan Kedah mara ke pentas final Piala Malaysia serta Piala FA musim ini, sepatutnya KFA sudah tahu atau belajar bagaimana untuk memastikan penjualan tiket berjalan lancar dan bersistematik.

“Tapi nampaknya, KFA seperti tidak berubah. Malah, kali ini dilihat lebih buruk hingga ada yang bergaduh dan merosakkan kemudahan di stadium.

“Kami bercadang membuat aduan kepada pejabat SPRM negeri Kedah untuk membuat siasatan hal ini. Mungkin berlaku ketirisan di pihak pengurusan KFA sendiri, ke mana perginya tiket-tiket itu.

“Kami memohon agar pegawai SPRM menyiasat pegawai-pegawai KFA yang cuba membawa tiket ini ke arah lain ataupun diberikan kepada orang lain.

“Maksudnya kami mahukan KFA senaraikan dan nyatakan pecahan-pecahan tiket ini dibahagikan kepada siapa seperti bas, kaunter tiket, kelab gabungan di bawah KFA dan penaja untuk kami ketahui ke mana perginya kesemua tiket itu,” katanya kepada Berita Harian.

Jelas Wan Syazwan lagi, LMFA turut bercadang menyerahkan memorandum kepada Presiden KFA, Datuk Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah bagi memperbaiki sistem penjualan tiket serta mendesak agar kedudukan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk KFA, Shaharol Niza Omar dikaji semula.

“Kami lihat Shaharol Niza gagal melaksanakan peranannya biarpun sudah 3 tahun mengalami situasi sama. Sudah tiba masanya tempat beliau dikaji semula supaya isu sama tidak berulang di masa akan datang sekiranya Kedah sekali lagi mara ke final,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk KFA, Shaharol Niza Omar mengesahkan pihaknya dikunjungi beberapa pegawai SPRM yang melakukan siasatan awal mengenai laporan yang dibuat kelab penyokong dan KFA menjelaskan pertemuan hampir dua jam itu berlangsung dengan baik.

“Ketika pegawai SPRM datang ke pejabat ini, kami sedang menguruskan pengagihan tiket untuk tempahan membabitkan 400 bas dan SPRM turut menyaksikan sendiri agihan tiket dan senarai tempahan yang dibuat.

“Malah, SPRM juga turut menjelaskan bahawa agihan tiket perlawanan akhir adalah termaktub kepada KFA dan kami tidak melanggar sebarang polisi memandangkan kami tidak terikat dengan apa-apa polisi yang menyatakan mengenai jumlah tiket yang perlu dijual di kaunter.

“Harus diingat, tempahan untuk 400 bas itu juga adalah untuk penyokong Kedah bukannya untuk orang asing ataupun ulat. Bakinya baru dijual di kaunter jadi dua bentuk agihan itu tetap sampai kepada penyokong Kedah,” jelasnya.

Sumber SPRM Kedah menjelaskan ia adalah lebih kepada siasatan awal membabitkan dakwaan kelab penyokong yang membuat laporan itu dengan beberapa pegawai itu tiba di pejabat KFA kira kira jam 1.30 tengah hari tadi.

“Kami mendapatkan penjelasan daripada pihak terbabit selepas mendapat beberapa laporan terhadap KFA mengenai pengagihan kuota tiket sehingga mencetuskan kekecohan di Stadium Darul Aman.

“Namun, tiada apa yang boleh kami berikan buat masa ini kerana ia masih di peringkat awal,” katanya kepada Berita Harian

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN