Berlegar desas desus pertahanan tengah berusia 38 tahun yang pernah beraksi bersama Kedah Darul Aman, Alvaro Silva semakin hampir untuk kembali menyarung jersi Sang Kenari bagi menggantikan posisi Jang Suk-won.
Ini kerana, sebelum ini terdapat perkhabaran yang Jang bakal bersara daripada bola sepak disebabkan masalah kecederaan yang membelenggunya. Ia berikutan ciapan wartawan The Star, T. Avineshwaran sebelum ini.
Pemain kacukan Filipina-Sepanyol itu bakal mengisi semula slot pemain Asia yang akan ditinggalkan Jang – jika benar pemain itu sudah bersiap untuk angkat beg meninggalkan pasukan.
Namun, belum ada pengesahan rasmi mengenai status kedua-dua pemain ini sama ada meninggalkan dan menyertai pasukan selepas ini.
It looks like Kedah will be looking for an Asian centreback as Jang Suk-won will be retiring due to injuries. #MFLTransfer2022 #MSL2022
— T. Avineshwaran (@avineshW90) May 19, 2022
Silva pernah tampil sebanyak 13 kali dalam saingan Liga Super bersama Kedah pada musim 2018.
Pada musim itu, Kedah menduduki tangga ke-6 liga, tersingkir di pusingan ketiga Piala FA dan menampilkan persembahan terburuk di saingan Piala Malaysia apabila berada di posisi tercorot peringkat kumpulan.
Mereka gagal mengulangi pencapaian terbaik musim sebelumnya – tangga ke-4 Liga Super, juara Piala FA dan finalis Piala Malaysia. Ia adalah musim sebelum kehadiran Aidil Sharin yang mengubah situasi buruk mereka.
TERKINI: Aidil Sharin Sahak Pengendali Baharu Skuad Kedah 2019
Aidil Sharin hadir pada musim 2019 dengan pertahanan tengah import baharu bersamanya iaitu Renan Alves.
Adakah Aidil mahu menagih semula kudrat bekas pemain yang berada bersama Sang Kenari saat pasukan berada dalam situasi terburuk mereka? Ia tidak dapat dipastikan.
Tetapi jika benar Jang sudah tiada, tentunya seorang bek tengah baharu bakal dibawa masuk untuk menggantikannya di jendela perpindahan ini.
Dan tiba-tiba, kelibat Silva dilihat berada di sekitar Alor Setar, malah dilihat ‘melawat’ bekas pasukannya.
Malah, beliau bukan sahaja ‘melawat’ sekitar Alor Setar, beliau juga berada di dalam Stadium Darul Aman.
Mana mungkin beliau sengaja untuk berada di dalam stadium pada sebelah petang pada saat dan ketika ini.
Beliau juga dilihat berkongsi momen-momennya ketika menyarung jersi Kedah di Instagram peribadinya.
Jika benar Silva adalah pemain yang bakal dibawa masuk ke Kedah, mampukah beliau memberikan yang terbaik di posisi pertahanan tengah yang bergelut pada musim ini.
Kedah dibolosi 17 gol dalam sembilan perlawanan dan merupakan yang tertinggi di liga bersama pasukan yang bergelut di zon penyingkiran – Sarawak United.
Tetapi yang menimbulkan kembali persoalan pada hari ini adalah apabila beliau berkongsi melawat Johor Darul Ta’zim (JDT) dan bertemu Kiko Insa yang diketahui bertindak sebagai ejen pemain.
Adakah Silva kini adalah seorang ejen pemain dan membawa profil pemain untuk diperkenalkan di saingan Liga Malaysia selepas ini?
Dua pasukan telah dilawatinya dan ketika ini beliau sedang berada di Kuala Lumpur. Adakah beliau ejen atau sedang mencari pasukan untuk beraksi? Sama-sama kita nantikan perkembangan terkini tentangnya.