Dalam kerancakan mengumumkan barisan pemain, Kedah Darul Aman (KDA) FC turut mengumumkan Khairul Azman Mohamed selaku jurulatih penjaga gol yang baharu.
Bekas penjaga gol dan lagenda negara itu sebelum ini bertugas bersama juara tujuh kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan telah dipancing untuk bersama Kedah selepas meninggalkan pasukan tersebut pada pertengahan musim ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Khamal Idris Ali, Kedah kini sedang memberikan fokus utama dalam mengukuhkan pasukan tersebut dengan melakukan penambahbaikan dalam membentuk pasukan yang mantap di semua posisi.
#BHsukan Bekas jurulatih JDT sertai Lang Merahhttps://t.co/ujtfgLVz8d
— Berita Harian (@bharianmy) December 24, 2020
Sebagaimana yang semua sedia maklum, Kedah merupakan pasukan kedua terbaik selepas JDT apabila hanya merekodkan 13 bolos dalam 11 perlawanan musim 2020. Begitupun, penjaga gol yang memiliki penampilan terbanyak, Ifwat Akmal Chek Kassim dilihat bergelut apabila merekodkan prestasi terburuk di kalangan semua penjaga gol.
Menurut statistik yang dikeluarkan Opta J sebelum ini, Ifwat Akmal tidak tersenarai dalam kalangan 10 penjaga gol terbaik Liga Super apabila telah merekodkan peratus menyelamat paling rendah iaitu hanya 30 peratus dalam lima penampilannya.
Oleh itu, kemasukkan Khairul Azman Mohamed ini diharapkan akan membangkitkan semula roh kehebatan Ifwat Akmal yang boleh dikatakan semakin menurun menuju ke penghujung musim ini. Ada ketikanya, posisinya dilihat mampu dirampas oleh Shahril Sa’ari dan Azri Ghani yang kini telah memilih untuk berhijrah ke Perak TBG.
Ketika Kedah memuat naik gambar sesi latihan yang bermula pada awal minggu lalu, kelibat penjaga gol berusia 24 tahun itu antara yang mencuri tumpuan apabila ada di kalangan penyokong mengatakan dengan sinis yang beliau dilihat semakin ‘berisi’.
Boleh dikatakan saban musim penyokong menyuarakan mengenai penampilannya dan akhirnya pada musim lalu, penjaga gol kedua dan ketiga telah berjaya memberikan saingan buatnya dalam merebut tempat untuk kesebelasan utama pasukan.
Dengan kemasukkan bekas jurulatih kepada Farizal Marlias dan Izham Tarmizi Roslan di JDT, penyokong menyuarakan sekali lagi agar penampilan penjaga gol mereka diberikan perhatian. Ada dikalangan mereka yang menyarankan agar Khairul Azman memberikan latihan tambahan dan panduan diet bersesuaian kepada Ifwat Akmal.
Ifwat Akmal adalah penjaga gol yang memberikan beberapa kejuaraan antaranya dua trofi Piala FA (2017, 2019), Piala Malaysia (2016) dan Piala Sumbangsih pada musim 2017. Beliau diserap masuk ke skuad utama pada musim 2016 untuk menggantikan Abdul Hadi Hamid yang kini merupakan penolong jurulatih penjaga gol Kedah.
KREDIT FEATURED IMAGE: KDA FC
Baca lagi artikel mengenai Khairul Azman Mohamed dan Kedah:
Khairul Azman Mohamed, Kisah Di Sebalik Kegemilangan, Rasuah, Kebangkitan Dan Legasi
Nostalgia: Aksi Khairul Azman Curi Tumpuan Jurulatih Futsal Uruguay