Sabah FC membenarkan pemain sayap, Saddil Ramdani untuk menyertai skuad kebangsaan B-23 untuk temasya Sukan SEA negaranya.
Pekara itu disahkan melalui satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh kelab itu pada hari ini.
Menurut kenyataan daripada Sabah FC, perbincangan telah dilakukan bersama Ketua Jurulatih Indonesia, Shin tae-yong dan pihak Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSSI) untuk membenarkan pemain itu beraksi di Hanoi pada Mei ini.
Namun demikian, keizinan oleh Sabah FC datang dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh Saddil dan PSSI.
Walaupun membenarkan Saddil beraksi di temasya tersebut untuk perlawanan menentang Vietnam pada 6hb Mei, Saddil harus berada di Kota Kinabalu untuk membantu kelabnya menghadapi dua perlawanan Liga Malaysia.
Sabah FC dijadualkan akan berhadapan Kelantan United di saingan Piala FA pada 13 Mei sebelum berhadapan Penang FC pada 17 Mei untuk saingan Liga Super.
Keputusan Sabah FC disambut baik penyokong Garuda
Keputusan Sabah FC melepaskan Saddil disambut baik oleh majoriti penyokong skuad Garuda.
Berdasarkan komen-komen di laman Instagram rasmi kelab itu, rata-rata penyokong Indonesia berterima kasih atas budi bicara yang ditunjukkan oleh kelab itu.
Sebelum ini, akaun Instagram Sabah FC diserang oleh segelintir penyokong Indonesia yang tidak berpuas hati selepas laporan media Indonesia mengesahkan Saddil tidak akan menyarung jersi pasukan negaranya untuk saingan di Sukan SEA 2021.
Walaupun penjelasan telah diberikan oleh pemain itu sendiri pada ketika itu, ia tetap tidak menghalang penyokong Indonesia membanjiri ruangan komen Instagram Sabah FC dengan tanda pagar SaddilOut. #SaddilOut.
Tanda pagar tersebut dipercayai sebagai tanda kempen dan protes penyokong-penyokong Indonesia kerana pemain itu tidak dibenarkan menyertai skuad Indonesia di Sukan SEA.
Ada juga komen yang menuduh pasukan Malaysia sebenarnya licik kerana Sabah FC enggan melepaskan pemain itu.
Kerjasama dua pihak
Kerjasama dua pihak membabitkan Sabah FC dan PSSI turut melihat Saddil dibenarkan untuk menyertai persiapan pasukan kebangsaan Indonesia lebih awal untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia pada Mei dan Jun nanti.
Berdasarkan perkongsian Sabah FC, Saddil akan menyertai skuad Indonesia di luar kalendar FIFA pada ketika itu yang hanya akan bermula pada 30 Mei sehingga 14 Jun.