Penyokong EPL Dibenarkan Ke Stadium, Tapi Dilarang Bersorak & Menyanyi

EPL Penyokong

Mungkin ini merupakan berita gembira buat penyokong kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas pihak pengurus liga berkenaan bersetuju untuk membenarkan penonton di dalam stadium bermula bulan depan.

Bagaimanapun, dalam surat yang dikeluarkan kepada semua kelab yang mengandungi garis panduan yang dianggap terlalu ketat telah menimbulkan perdebatan di media sosial.

Ia berikutan larangan penyokong di dalam stadium untuk bersorak, menyanyi dan membawa minum beralkohol.

Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson dalam pengumumannya sebelum ini menyatakan sejumlah penyokong dibenarkan untuk menonton perlawanan di stadium mengikut zon tertentu bermula 2 Disember ini.

“Saya mengesahkan kawalan pergerakan yang dibuat akan berakhir pada 2 Disember ini dan tidak akan diperbaharui,” ujar Johnson.

“Pusat ibadah, majlis perkahwinan dan aktiviti sukan dibenarkan untuk bersambung. Kedai-kedai, pusat kecantikan dan kebanyakan sektor ekonomi boleh kembali beroperasi.”

Kelab yang terletak di zon 1 (jumlah kes rendah) dibenarkan untuk 4,000 orang penyokong atau 50% kapasiti stadium, sementara yang di dalam zon 2  (jumlah kes sederhana) pula sebanyak 2,000 orang penyokong atau 50% kapasiti stadium.

Manakala bagi kelab yang berada di zon 3 (jumlah kes tinggi) pula tiada penyokong dibenarkan. Antara yang berada di zon 3 adalah kelab yang berpangkalan di Liverpool dan Manchester.

Semua penyokong di dalam stadium diwajibkan memakai topeng sepanjang masa dan waktu kemasukan penyokong ke dalam stadium juga perlu mengikut jadual yang ditetapkan bagi mengelak berlakunya kesesakan.

Pihak EPL dalam kenyataan rasmi mereka menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam memastikan segala peraturan dan protokol yang ditetapkan dapat dipatuhi dengan sebaiknya oleh setiap penyokong dan pasukan.

“Hasrat kami adalah bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk terus menambah bilangan penonton hingga ke satu tahap yang lebih besar.

“Lebih banyak penyokong dibenarkan hadir menonton perlawanan, ia akan membantu kelab-kelab untuk kembali mengadakan perlawanan dan membantu mereka mendapatkan hasil jualan untuk mengurangkan kos kerugian.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Inggeris:

David James: Liverpool Lebih Baik Tanpa Mohamed Salah

Naby Keita Tambah Senarai Kecederaan Liverpool, Tapi Salah Kembali Jalani Latihan

Chelsea Sedia Jual Giroud Januari Ini

Leave a Reply