Sejak Tunku Mahkota Johor (TMJ) dilantik sebagai Presiden FAM, berbagai-bagai kontroversi dan tohmahan yang dilemparkan kepada barisan yang dipimpin oleh baginda sehingga kadang-kadang itu terasa loya anak tekak apabila setiap hari membaca berita-berita sebegini.
Bukanlah cuba menyebelahi sesiapa, tapi cuba pejamkan mata dan berfikirlah. Adakah tugas mencuci debu hamis dari barisan kepimpinan dahulu itu semudah seperti yang disangka?
Adakah tugas-tugas membangunkan bola sepak negara yang telah mundur itu cuma mengambil masa sebulan?
Adakah memperbaiki dan menghasilkan sistem yang bersih dan baik itu semudah memetik jari? Buat kerja pun upah kawan lagi mahu berbahas.
Bagi mata yang melihat memanglah semuanya mudah belaka tetapi bagi mereka yang memikul tugas itulah yang terasa bebannya.
Kita sebagai penyokong perlulah bijak dalam berkata-kata dan janganlah terlalu cepat menghukum tanpa diperiksa awal dan akhir sesuatu perkara.
Adab kat mana?
Sejak wujudnya laman sosial, segelintir dari kita tidak memahami bahawa kata-kata itu ibarat pedang dan kita mestilah bertanggungjawab dalam setiap kata-kata yang dizahirkan di laman sosial.
Menuduh membabi buta tanpa merujuk kepada yang dituduh itu sangatlah tidak bermoral.
Semangat? Ya, semangat itu semangat juga tapi janganlah sampai membunuh semangat mereka yang sedang berjuang untuk membantu bola sepak negara dan menyelesaikan isu defisit RM40 juta yang dihadapi FAM ketika ini.
Walaupun kita merasakan yang mereka yang telah diamanatkan ini mengerti dan fasih tentang perangai penyokong di Malaysia, malah mereka memberi ruang kepada kita untuk menyuarakan pendapat kita kepada mereka dalam usaha untuk membawa kembali kegemilangan bola sepak negara yang telah lama tidak dikecapi.
Tetapi jangan pula kita salah guna kebebasan ini dengan melemparkan kata-kata cacian dan tuduhan-tuduhan liar yang sumbernya entah dari mana.
Sudah menjadi kelaziman dalam kalangan penyokong kita yang laju jarinya menaip papan kekunci untuk menghukum sedangkan bayang di stadium tidak pula kelihatan.
Dengarkanlah, fikirkanlah dan ubahlah mentaliti kita wahai penyokong-penyokong sekalian.
Sorakan di laman sosial tidak berguna walau sesen jika tidak disalurkan ke saluran yang betul.
Berapa ratus yang anda peroleh jika sibuk mengadu domba dari belakang? Lebih baik kerahkan tenaga di stadium dengan menyokong pasukan tempatan dan suarakanlah pendapat apabila diberi peluang setiap kali menyuarat diadakan.
Tuntasnya, dalam hal merevolusikan bola sepak negara bukan hanya terletak di bahu pemimpin semata-mata malah kita juga perlu berubah seiring dengan aspirasi kita bersama.
Ingin menyuarakan ketidakpuasan hati tentang pengurusan pasukan tempatan? Suarakan di medium yang betul kerana mereka juga perlu berubah dalam usaha kita memperbaiki sistem jelik bola sepak kita ketika ini.
Barisan kepimpinan FAM yang terbaharu ini memerlukan ruang dan idea untuk melaksanakan aspirasi penyokong yang dahagakan kebangkitan bola sepak Malaysia.
Tugas kita sebagai peminat yang kononnya setia perlulah memberikan mereka ruang dan peluang untuk menjayakannya.
Jangan hanya tahu melihat sahaja tapi bila disentuh, keris jahil laju diacu.
Nota editor: Artikel ini merupakan tulisan pembaca kami dengan nama pena OG. Jika anda mahu tulisan anda dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantarkan artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke email [email protected] .
Baca juga: Kerana Cuai, Juan Cuadrado Terbocor Jersi Juventus Untuk Musim Depan Di Twitter