Penyertaan Radamel Falcao, Bukti TMJ Serius Mahu Naikkan Standard Liga M

Cerita mengenai kemasukan penyerang kebangsaan Colombia iaitu Radamel Falcao dalam keluarga besar Johor Darul Ta’zim (JDT) kini semakin hangat diperkatakan di media sosial melibatkan penyokong bola sepak tempatan.

Apa tidaknya, Falcao bukan lagi satu nama yang asing dalam dunia bola sepak dan ketajaman beliau sudah pun diakui sehingga ke peringkat tertinggi bersama pelbagai kejuaraan diraih.

Ianya sinonim dengan JDT yang kini juga sudah tidak asing dengan pelbagai kejuaraan tempatan atau peringkat antarabangsa yang sudah pun diraih mereka dalam tempoh masa yang sangat pantas.

Siapa sangka, pasukan yang dibentuk pada tahun 2013 itu kini boleh dianggap sebagai salah satu gergasi di Asia Tenggara dan membawa nama Malaysia bersaing di pentas Asian Champions League (ACL) untuk berdepan pelbagai kelab berpengaruh.

Bercerita tentang kemasukan pemain berprofil tinggi seperti Falcao, ianya bukan lagi perkara asing pernah dilakukan oleh pasukan tersebut, setelah nama besar seperti Daniel Guiza dan Pablo Aimar sudah pun membuktikannya suatu ketika.

Saat ramai menceritakan tentang JDT serta pemilik kelab tersebut iaitu Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor (TMJ) dengan cerita-cerit tidak enak, siapa sangka individu ini tampil mengubah landskap bola sepak tempatan ke arah lebih baik.

Penyertaan Falcao sebenarnya bukan sahaja memberi impak positif kepada JDT, malah ia menjadi bukti TMJ juga serius mahu menaikkan lagi mutu Liga Malaysia (Liga M) pada masa akan datang.

Buka mata dunia kepada Liga M

Menerusi penyertaan Falcao dalam saingan Liga M bersama JDT, ianya telah menarik perhatian ramai pengamal media seluruh dunia untuk membuat laporan mengenainya ketika ini.

Siapa sangka, salah satu kelab yang beraksi di Asia Tenggara berjaya mendapatkan khidmat salah seorang penyerang berprofil tinggi untuk menyertai mereka tidak lama lagi.

Secara tidak langsung, Liga M mula menjadi tumpuan ramai peminat bola sepak sekeliling dunia disebabkan laporan-laporan khas dibuat oleh pengamal media tersebut tentang perpindahan itu.

Selain memperkenalkan JDT di mata dunia, TMJ tetap tidak lupa untuk membawa Liga M turut dikenali ramai serta menjadi tarikan baharu menerusi penyertaan Falcao pada masa hadapan.

Lebih ramai pemain import berkualiti minat sertai Liga M

Menerusi kemasukan Falcao, ianya juga akan menyaksikan lebih ramai pemain-pemain import berkualiti tinggi memberi tumpuan serta minat untuk menyertai kelab-kelab tempatan pada masa hadapan.

Jika dilihat situasi ketika ini, kebanyakan pemain import yang hadir menyertai Liga M adalah dalam kalangan mereka sudah melepasi tahap terbaik serta tidak begitu berkualiti bagi memberi impak.

Selain JDT, hanya beberapa kelab sahaja yang dilihat mendapatkan tonggak import berkualiti dan selebihnya tidak ubah seperti pemain tempatan atau lebih teruk daripada segi prestasi.

Tarikan pemain import yang berkualiti serta berprofil tinggi sebenarnya merupakan suatu pelaburan terbaik kelab untuk terus menarik perhatian peminat hadir ke stadium bagi memberi sokongan kepada pasukan.

Lihat sahaja apa usaha dibuat TMJ kini, ianya bukan berkisarkan tentang kemahsyuran sahaja, tetapi tentang suatu pelaburan yang mampu untuk terus memacu kestabilan kewangan pasukan dalam tempoh jangka masa panjang menerusi tarikan kepada penyokong.

Mutu permainan bola sepak tempatan meningkat

Selain mendapat pemain berkualiti seperti Falcao yang dapat menjadi aset kekuatan kelab, tonggak ini juga pastinya akan berkongsikan lebih banyak nilai-nilai terbaik buat pemain tempatan lain khususnya buat bakat muda.

Inilah salah satu tujuan kenapa pemain import dibawa masuk ke dalam pasukan, iaitu kualiti serta pengalaman dimiliki mereka mampu dicurahkan dengan sangat baik buat anak-anak tempatan.

Hasilnya, mutu permainan bola sepak Malaysia juga akan semakin meningkat dan memberi daya saing di pentas antarabangsa dan ianya sudah dibuktikan TMJ bersama JDT ketika ini.

Kesimpulan

Suka atau tidak, apa yang dilakukan oleh TMJ kini bukan sahaja berkisarkan kepada kepentingan buat JDT sahaja, tetapi merangkumi semua pasukan Liga M.

Tiada paksaan untuk menandatangani pemain import semahal Falcao jika sesetengah kelab lain ingin menumpukan kepada pembangunan fasiliti terlebih dahulu.

Namun, inilah manfaatnya jika kebanyakan kelab lain berjaya menandatangani pemain import berkualiti atau berprofil tinggi pada masa akan datang.

Selain menjadikannya sebagai nilai komersil buat kelab, ianya juga merupakan satu bentuk pelaburan berbaloi untuk menarik lebih ramai penyokong hadir ke stadium untuk memberi sokongan.

Bukti lain? Lihat sahaja Al-Nassr ketika ini selepas mereka mendapatkan khidmat bintang dunia iaitu Cristiano Ronaldo dan impak besar diperoleh pasukan tersebut selepas itu.

Selain menjadi tumpuan dunia, kehadiran Ronaldo jelas menarik minat ramai penyokong keliling dunia untuk mendapatkan jersi kelab tersebut serta membawa banyak faedah tidak pernah dijangka selama ini.

Semoga kehadiran Falcao, impak bola sepak negara akan terus meningkat, serta lebih ramai membuka mata untuk menilai visi ditampilkan oleh TMJ buat bola sepak negara.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN