Penyertaan Kpah Sherman Lengkapkan Ramuan Jentera Serangan Fandi Ahmad?

Sri Pahang ketika ini terus mengorak langkah untuk mempersiapkan barisan pemain baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim hadapan yang dilihat serba mencabar.

Terbaharu, mereka berjaya menandatangani penjaring terbanyak Piala Malaysia 2022 iaitu Kpah Sherman untuk memperkukuhkan jentera serangan pasukan musim ini.

Perkara ini diumumkan sendiri menerusi laman rasmi Sri Pahang menerusi media sosial mereka dan mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong Tok Gajah.

Kpah yang diumumkan sebentar tadi menjadi pemain import keempat terbaharu diumumkan pasukan tersebut, selepas ada beberapa rombakan yang dibuat.

“Sri Pahang berbesar hati memperkenalkan pemenang kasut emas Liga Super 2019, Kpah Sherman sebagai wajah baru di barisan serangan.

“Sejak beraksi di Liga Malaysia bermula 2017, penyerang dari Liberia ini telah membuktikan dirinya sebagai antara penyerang berkualiti ‘kaki gol’ dengan meledak keseluruhan 72 gol bersama MIFA, PKNS, Kedah dan Terengganu,” jelas kenyataan tersebut.

Seperti diketahui, Sri Pahang juga berjaya mendapatkan seorang lagi penyerang import berkualiti untuk musim ini dari Brazil iaitu Lucas Silva Espindola.

Lucas yang beraksi bersama Penang musim lalu tampil dengan rekod gol yang sangat menarik selepas meledak 11 gol daripada 15 perlawanan disertainya dalam kempen Liga Malaysia musim 2022.

Jelas Dollah Salleh mahu memperkukuhkan jentera serangan mereka, selepas musim lalu mereka banyak bergantung harap kepada bekas import, Titi Rodriguez.

Kpah pada musim lalu sebenarnya bukan berada pada prestasi terbaik beliau selepas kerap dipinggirkan oleh Nafuzi Zain sewaktu saingan Liga Super.

Nafuzi yang lebih selesa menggunakan Tchetche Kipre sebagai penyerang tunggal telah menggantikan khidmat Kpah kepada pemain tengah berkualiti, Petrus Shitembi.

Namun, Kpah kembali menemui sentuhan pemusnahnya selepas beliau tampil agresif meledak gol dalam saingan Piala Malaysia untuk mengumpul tujuh jaringan secara keseluruhan.

Sesuatu yang harus disedari oleh Fandi selepas ini mengenai Kpah ialah penyerang kebangsaan Liberia itu sudah pun melepasi tahap terbaiknya pada suatu ketika lalu menerusi faktor usia.

Tetapi, ianya mungkin dapat diatasi jika gandingan beliau iaitu Lucas mampu mengekalkan prestasi ketika bersama Penang musim lalu.

Walaubagaimana pun, ianya masih lagi suatu perkara yang menarik untuk dilihat bagaimana musim pertama Fandi selaku jurulatih ingin menggandingkan dua penyerang berbisa musim lalu dalam satu pasukan.

Pada masa sama, harus diingat Sri Pahang juga mengekalkan pemain serangan naturalisasi mereka untuk musim ini iaitu Sergio Aguero yang beraksi cemerlang bersama skuad kebangsaan dalam aksi Piala AFF 2022.

Sehingga kini, Sri Pahang sah sudah pun mengikat dua penyerang import baharu, dan dijangka akan ada lagi beberapa pemain lain menyertai mereka.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN