Penyertaan Fernando Forestieri Petanda 3-5-2 Atau 3-4-3 Akan Jadi Pilihan Formasi JDT Pada Musim 2022?

Formasi JDT KL City Piala Malaysia 2021 Fernando Forestieri perubahan 2022

Adakah Benjamin Mora dan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan turun dengan formasi taktikal yang sedikit berbeza pada musim 2022 dengan kehadiran bekas penyerang di Serie A bersama Udinese, Fernando Forestieri?

Tiada variasi formasi taktikal adalah persoalan terbesar terhadap pengurusan taktikal Benjamin Mora sebelum ini terutamanya ketika di saingan AFC Champions League (ACL) 2021 apabila hanya mempertaruhkan formasi taktikal 4-1-4-1 atau 4-3-2-1. JDT balik awal apabila menamatkan saingan Kumpulan G, di kedudukan ke-3.

Dalam aksi menentang Ratchaburi FC misalnya, Mora telah dilihat tidak mahu mengambil risiko mengurangkan pemain tengahnya dengan meletakkan gandingan dua penyerang di hadapan walaupun masalah utama mereka adalah untuk mencipta jaringan gol. Kata kuncinya adalah hanya letak Bergson sebagai penyerang tunggal.

Kenapa Benjamin Mora Masih Pertaruh Formasi Taktikal Yang Sama?

Untuk mengatakan JDT kerap menggunakan pemain sayap untuk memecah masuk ke defensive third lawan, ia tidak juga berlaku dengan lebih kerap. Malah, melihat heatmap JDT dalam perlawanan itu, mereka tampak lebih banyak berada di middle third. Ikuti ulasan ringkas ‘kedegilan’ Mora merubah formasi taktikalnya itu di SINI.

Kemuncak saingan Piala Malaysia 2021 iaitu ketika aksi final menentang KL City FC telah memperlihatkan satu pementasan formasi taktikal lain daripada Mora. Ada masanya JDT dilihat menggunakan tiga pertahanan ketika menyerang dan lima pertahanan ketika bertahan. Namun, mereka tetap tewas dalam perlawanan tersebut.

Mungkinkah Bergson da Silva, penyerang sensasi mereka musim lalu yang meledak 23 gol perlukan gandingan di jentera depan? Sebelum ini, dalam balasan ciapan pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) seolah-olah mengesahkan seorang pemain penyerang akan dibawa masuk dari Serie A.

Tanggapan tersebut adalah berdasarkan jawapan balas TMJ kepada ciapan beberapa pengguna Twitter yang sering memberi kemaskini terbaru mengenai JDT antaranya, @juanbudiman dan @MarcoNegeri. TMJ dilihat menjawab kepada Juan Budiman, “Saya sukakan Serie A.” TMJ kemudiannya membalas ciapan Marco Negeri.

“Ia perlu dilakukan [dapatkan pemain baharu]. Bergson mengadu dia keseorangan di depan,” ciap TMJ lagi.

Dengan penyertaan Fernando Forestieri, ia seperti memberi petanda Bergson akan diberikan gandingan agar tidak lagi berasa keseorangan di depan. Adakah formasi taktikal seperti di pentas final Piala Malaysia akan digunapakai sepenuhnya musim depan? 3-5-2 atau 3-4-3 adalah pilihan yang Mora ada untuk cuba digarapkan.

Fernando Forestieri adalah pemain yang mampu bermain di posisi penyerang – penyerang utama atau kedua dan sebagai inside forward di sebelah kiri. Beberapa bentuk formasi boleh digarap Mora dengan kehadirannya.

Masih ingat formasi JDT ketika berdepan KL City? Ini imbasan serba sedikit formasi yang ditaruhkan Mora ketika itu. Tiga bek tengah merangkumi gandingan Matt Davies, Mauricio dan Shane Lowry. Natxo Insa dan Leandro Velazquez membentuk gandingan duo di tengah dengan Afiq Fazail bergerak lebih ke bahagian atas.

sususan formasi JDT KL City Piala Malaysia 2021
Susunan pemain JDT dan KL City dalam pentas final Piala Malaysia 2021

Afiq Fazail dan Safawi Rasid dilihat membantu Bergson dengan pergerakan di zon 14 sementara dua bek sayap menyerang, S. Kunanlan dan Arif Aiman digunakan di sebelah kiri dan kanan. Namun, mungkin impak Afiq Fazail dan Safawi Rasid kurang, menjadikan Bergson seperti keseorangan. Formasi ini bakal di’tweak’ musim ini.

Perubahan yang dijangka akan berlaku adalah kemasukkan Fernando Forestieri untuk bersama Bergson di depan. Tidak pasti lagi bagaimana bentuk gandingan yang bakal dipertaruhkan, namun gandingan ini bakal dimaksimumkan untuk menambah sengat di depan. Peranan Afiq Fazail itu yang mungkin akan digantikan.

Mora dilihat akan kembali dengan gandingan tiga pemain di tengah kerana itu adalah sumber kekuatan mereka. Meletak seorang pemain untuk lebih ke atas melemahkan jentera tengah Harimau Selatan sebagaimana ketika berdepan The City Boys. Formasi 5-3-2 dilihat mampu berikan JDT impak yang mereka idam-idamkan itu.

‘Welcome To The Home Of Champions’ – Asbab, Impian Dan Keberanian Syahmi Safari Ke JDT

Dan kemasukkan Syahmi Safari yang diketahui arif dengan peranan bek sayap menyerang berdasarkan sistem ini mengukuhkan tafsiran ini. Syahmi Safari diumumkan pada hari yang sama ketika Fernando Forestieri sah menyertai JDT. Harus diingat, S Kunanlan sudah berusia 35 tahun dan tak selamanya cergas sepenuh masa.

Tetapi, formasi taktikal bersandarkan tiga bek tengah boleh digarap dengan pelbagai arahan taktikal bergantung kepada situasi perlawanan. Yang penting, Mora sudah boleh variasikan formasi taktikal JDT di atas padang dan dengan pilihan pemain yang ada, perubahan formasi taktikal ini dijangkakan akan berlaku pada musim 2022.

‘Kehilangan’ fokus Syafiq Ahmad selepas insiden yang menimpa keluarganya dan ‘penuaan’ prestasi Gonzalo Cabrera mengurangkan pilihan terbaik di jentera depan. Penyertaan Fernando Forestieri ke JDT petanda variasi formasi taktikal yang bakal diperkemaskan Mora untuk saingan musim 2022. Sama-sama kita nantikan!

Leave a Reply