Tatkata banyak cerita tidak enak kedengaran di kem Kedah Darul Aman (Kedah) musim ini sejak awal persaingan berlangsung, siapa sangka masih ada perkara manis yang masih boleh dibanggakan oleh peminat mereka.
Apa tidaknya, musim ini sebenarnya boleh dianggap sebagai sebuah mimpi ngeri buat Sang Kenari apabila mereka terpalit dengan isu kewangan yang cukup teruk sejak awal saingan berlangsung.
Sebenarnya, perkhabaran mengenai masalah kewangan Kedah ini sudah pun mula kedengaran melewati penghujung tahun lalu dengan beberapa pemain utama mereka sudah pun ‘angkat kaki’ dengan lebib awal.
Secara perlahan-lahan perkara itu mula merebak dengan semakin teruk sehingga kelab itu masih lagi tiada penaja utama musim ini dan mengakibatkan para pemain dan kejurulatihan merana akan tunggakan gaji.
Selepas itu, perlahan-lahan beberapa pemain mula meninggalkan pasukan itu dengan kini Kedah hanya memiliki dua pemain import sahaja yang masih kekal.
Namun, masih ada ceritera manis yang masih boleh dibanggakan peminat apabila penyerang tempatan mereka iaitu Afeeq Iqmal Rosli terus tampil berbisa dan menjadi penjaring kedua terbanyak di pentas Piala MFL musim 2024/2025.
Gabriel Nistelrooy Tamin masih mengekalkan kedudukannya sebagai penjaring terbanyak Piala MFL setakat ini dengan 16 gol!#PialaMFL2024-25 #DemiLigaKita #LigaMalaysia pic.twitter.com/tqAfwPGnnz
— Malaysian Football League (@MFL_MY) January 9, 2025
Selepas mengharungi banyak perlawanan bersama KDA B, Afeeq kini sudah pun merekodkan sembilan gol setelah melepasi minggu ke-19 dan berada di belakang penggempur berbisa Johor Darul Ta’zim II iaitu Gabriel Nistelrooy.
Afeeq yang kembali menyarung jersi Kedah musim ini tidak mengambil masa yang lama untuk menambat hati peminat menerusi ketajaman beliau di pentas MFL.
Malah, beliau juga meninggalkan impak yang cukup besar ketika dipanggil menyertai pasukan senior dan memainkan peranan selaku penyerang utama Sang Kenari.
Salah satu perkara yang penulis lihat mengenai kualiti Afeeq, beliau mempunyai naluri yang sangat baik selaku penyerang serta rajin mendapatkan bola untuk mencipta sesuatu.
Pemain berusia 25 tahun ini juga mempunyai keupayaan tinggi daripada segi perebutan bola di udara dan selebihnya Afeeq masih memiliki tempoh untuk terus diasah selaku penyerang berpotensi masa hadapan.
Pada masa akan datang, mungkin kejurulatihan senior Kedah perlu menggunakan khidmat Afeeq dengan lebih kerap untuk terus mematangkan beliau sekali gus menjadikan beliau terus kekal relevan di pentas Liga Malaysia (Liga M).
SELAMAT KEMBALI AFEEQ IQMAL KE KELUARGA SANG KENARI
KDA FC dengan bangga mengumumkan Mohammad Afeeq Iqmal bin Rosli, bekas pemain muda yang pernah mewakili Kedah di musim 2021-2022. pic.twitter.com/Mqljoy2aO2
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) March 14, 2024
Malah, sesuatu yang cukup menghairankan mengapa Afeeq terus bersama skuad kedua Sang Kenari tatkala ketajaman dan kualiti beliau sudah pun terbukti di atas padang.
Apapun, ledakan gol Afeeq mungkin sedikit sebanyak mampu mengubati hati para peminat Sang Kenari yang telah terluka sejak awal musim ini di pentas domestik.