Penyerang muda Negeri Sembilan musim ini, Selvan Anbualagan antara yang bersemangat kini sebelum menghadapi aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2023 berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Walaupun hakikat sebenar kedua pasukan tersebut jelas mempunyai jurang yang sangat berbeza, dengan Negeri Sembilan musim ini tampil dengan serba tidak konsisten sejak awal saingan Liga Malaysia (Liga M) berbanding musim lalu.
SUKU AKHIR PIALA MALAYSIA DI STAR PAROI
Imbas kembali gol penyamaan Zaquan Adha ketika perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada tahun lepas. pic.twitter.com/qnCK6HJ4ag
— Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923) September 10, 2023
Situasi berbeza pula boleh dilihat kepada JDT yang boleh dianggap sedang melalui satu lagi musim cukup cemerlang kini dalam saingan Liga M selepas berjaya memperoleh dua trofi dan hampir pasti kini bergelar juara Liga Super.
Sehingga kini, JDT masih belum merekodkan sebarang kekalahan di peringkat domestik, dan ianya dianggap sukar kerana pasukan tersebut jelas serba unggul dari segenap sudut.
Maka, ianya menjadi suatu misi sukar sebenarnya untuk dihadapi Negeri Sembilan bagi aksi suku akhir ini jika mereka mempunyai impian bagi melakar kejutan tersendiri.
Namun, segalanya dianggap tidak mustahil buat Selvan yang kini mahu berusaha sehabis mungkin bersama Negeri Sembilan untuk memberi saingan sengit buat JDT di atas padang.
Negeri Sembilan bakal menghadapi aksi suku akhir Piala Malaysia pada Rabu ini bertemu JDT di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi dalam misi untuk mencipta kejutan mara ke peringkat separuh akhir.
Jelas Selvan, beliau mengakui JDT sebagai satu pasukan yang cukup kuat untuk dihadapi selepas sehingga menjadikan kelab tersebut sebagai pilihan utama pemerhati bola sepak tempatan untuk mara ke pusingan seterusnya.
Walaupun begitu, penyerang muda tersebut mempunyai tanggungjawab selaku pemain untuk mempertahankan maruah pasukan dan sedia memberi tentangan sengit buat JDT pada aksi tersebut.
“Sesiapa pun tidak boleh menafikan kehebatan pasukan JDT dalam liga tempatan kerana mereka sudah memiliki rentetan kemenangan dalam saingan Liga Super khususnya, sejak sembilan tahun lalu.
“Namun, sebagai tanggungjawab dalam mempertahankan maruah pasukan, kami kekal fokus menjalani latihan sebagai persiapan untuk memastikan pasukan dapat memberikan tentangan yang hebat dan berkualiti pada perlawanan itu nanti.
“Saya dan rakan-rakan akan terus berusaha mencapai prestasi terbaik kerana ingin berikan saingan dan mahu mendapatkan keputusan yang baik. Saya percaya dengan sedikit tuah mungkin berpeluang mendapatkannya,” kata Selvan menerusi Harian Metro.
AKSI SKUAD JANG MINGGU INI 🔥🔥
Minggu yang sibuk buat skuad Jang pada minggu ini.
Piala Malaysia 2023
Suku Akhir Pertama, 13 Sept:
NSFC lawan JDT
9 malam,
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pic.twitter.com/I2rr3FTFkj— Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923) September 10, 2023
Pada masa sama, pemain tersebut turut menyatakan untuk tampil dengan lebih agresif bagi memperkukuhkan posisi serangan Negeri Sembilan jika diberi peluang untuk beraksi.
Malah, Selvan juga bakal menggunakan segala ilmu telah disampaikan oleh pengendali Negeri Sembilan iaitu K. Devan selain pengalaman beraksi di pentas antarabangsa bersama skuad bawah 23 (B-23) negara sebelum itu untuk memberi bantuan penuh buat kelab diwakilinya kini.