Terengganu dilaporkan bakal memperkenalkan penyerang import baharu mereka pada musim ini dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025 dalam usaha untuk memperkukuhkan jentera hadapan kelab tersebut.
Terdahulu, ura-ura sudah menyatakan Sang Penyu bakal mendapatkan seorang lagi pemain serangan selepas mereka tampil sedikit tidak konsisten di posisi tersebut selain hanya bergantung harap kepada Ismaheel Akinade sahaja.
Selepas Ivan Mamut masih lagi tidak dapat dibawa turun akibat kecederaan, hanya pemain dari Nigeria itu sahaja menjadi sandaran utama Tomislav Steinbruckner selaku penggempur utama di pentas domestik.
Malah, konsistensi yang tidak menentu kelab tersebut juga menyaksikan beberapa kritikan diberi oleh penyokong Sang Penyu di media sosial yang menginginkan perubahan baharu.
Terbaharu, media rasmi Terengganu mengesahkan mereka bakal memperkenalkan import baharu mereka pada malam ini sebelum aksi ACC Shopee Cup berlangsung membabitkan pasukan itu menenyang Svay Rieng FC.
“Pada malam ini Terengganu FC akan memperkenalkan secara rasmi pemain import baru pasukan ini kepada para peminat di Stadium Sultan Mizan Zainal
Abidin! Ianya akan diadakan sebelum sepak mula perlawanan ACC #Shopeecup,” jelas kenyataan tersebut.
Menerusi beberapa perkongsian peminat di media sosial, laporan mendedahkan siapa penyerang baharu Terengganu yang akan diperkenalkan malam ini.
Pemain yang dikatakan tersebut ialah penyerang kebangsaan El Salvador iaitu Nelson Bonilla selepas pemain itu sendiri telah mengikuti akaun rasmi Instagram Terengganu.
Jika benar Bonilla menyertai Terengganu, jelas ia merupakan isyarat penting daripada Steinbruckner yang bersungguh-sungguh ingin memperbaiki aspek serangan pasukan tersebut kerana latar belakang penyerang itu bukan calang-calang.
Rekod musim lalu menyaksikan beliau tampil konsisten bersama Sukhothai FC di saingan utama Thailand apabila Bonilla meledak 12 gol bersama 6 bantuan jaringan daripada 28 penampilan secara keseluruhan.
Catatan jaringan beliau secara keseluruhan bersama pelbagai kelab diwakili juga sangat positif apabila dirinya telah menghasilkan 102 gol bersama 29 bantuan jaringan daripada 231 penampilan.
Pada usia 33 tahun, pemain kebangsaan El Salvador ini juga memiliki banyak pengalaman di pentas Eropah sebelum menyertai saingan utama Thailand bersama beberapa kelab tempatan.
Lebih menarik, Bonilla juga menjadi pemain yang masih aktif buat skuad kebangsaan serta memakai lilitan kapten selain merekodkan beberapa jaringan di pentas antarabangsa.
Kali terakhir beliau meledak gol pada 9 Jun lalu ketika El Salvador menewaskan Saint Vincent and the Grenadines menerusi keputusan 3-1 bersama aksi cukup menyakinkan.
Kualiti dan pengalaman Bonilla pastinya akan memberi suatu dimensi baharu buat siri serangan Sang Penyu jika beliau sah merupakan penyerang import kelab tersebut.
Pandangan anda?