Penyerang muda J-League yang kini beraksi untuk Yokohama YSCC iaitu Luqman Hakim Shamsudin berpuas hati melihat persiapan semasa skuad bawah 23 (B-23) Malaysia.
Luqman menjadi antara nama pemain paling mencuri tumpuan kini dalam skuad B-23 negara selepas beliau menjadi antara dua bintang muda yang kini beraksi di luar negara berbanding rakan sepasukan lain.
Beraksi di saingan J3 League, sehingga kini Luqman sudah pun mendapat peluang beberapa kali oleh pengendali kelab tersebut untuk dibawa turun beraksi serta turut sekali bermain selaku kesebelasan utama.
Berdasarkan beberapa pengalaman diraih beliau di luar negara, maka tidak hairan mengapa nama Luqman turut dipertaruhkan oleh Juan Torres Garrido kini selaku antara pemain B-23 untuk ke saingan Piala Asia di Qatar nanti.
Melihat kepada persiapan semasa skuad B-23 kebangsaan, Luqman percaya pasukan tersebut kini tampil lebih matang dan mampu memberi cabaran yang baik buat saingan Piala Asia akan datang.
Malah, prestasi semasa ditampilkan oleh rakan-rakan sepasukan lain juga jelas semakin meningkat walaupun ada beberapa lagi kelemahan lain perlu diperbaiki mereka pada masa akan datang.
“Kita ambil selangkah demi selangkah dan saya lihat prestasi semua pemain berada dalam keadaan yang baik. Saya yakin pemain pasukan ini sudah bertambah matang daripada peringkat sebelum ini.
“Kalau sebelum ini, belum dewasa tetapi sekarang sudah dewasa dan tahu apa yang perlu dilakukan. Dalam pasukan ini, secara matang itu sudah ke peringkat dewasa bermain bola.
“Bagi saya, semuanya memuaskan selepas beberapa siri perlawanan persahabatan dan kita pun ada beberapa minggu lagi untuk mengadakan persiapan sebelum Piala Asia B-23,” kata Luqman menerusi laporan dikeluarkan oleh Berita Harian.
Pada masa sama, penyerang muda masa depan Harimau Malaya itu turut mengakui beliau tidak mempunyai sebarang jaminan untuk diberi peluang selaku pilihan utama skuad tersebut di Qatar nanti.
Disebabkan itu, Luqman memasang tekad untuk memberikan segalanya terbaik demi merebut peluang kesebelasan utama bawah kendalian Juan Torres Garrido.
“(Persaingan) tidak mudah kerana semua pemain memberikan prestasi terbaik. Ia bukanlah satu kedudukan yang senang untuk saya. Sebagai pemain, saya perlu merebut tempat saya,” katanya akhir sekali.
Beraksi di posisi serangan, Luqman pastinya akan menggunakan aset kelincahan dan kekuatan fizikal beliau selain kepantasan dimilikinya untuk memberi impak positif di saingan Piala Asia sekali gus mengharumkan nama Malaysia.